Xiaomi 12 Pro - Pengecasan 120W, Tiga Kamera 50MP

Seperti dilaporkan, tiga varian untuk siri kali ini - Xiaomi 12, Xiaomi 12 Pro dan Xiaomi 12X. Xiaomi 12 Pro ialah varian paling berspesifikasi tinggi dalam siri ini. Lei Jun berkongsi markah Antutu yang dicapai Xiaomi 12 Pro iaitu 1,070,033.



Xiaomi Mi 12 Pro turut dikuasakan Snapdragon 8 Gen 1 dengan binaan 4nm bersama Adreno 730G, bateri sedikit lebih besar berbanding versi biasa iaitu 4,600mAh dengan pengecasan pantas 120W, pengecasan 50W tanpa wayar dan pengecasan berbalik 10W.



Untuk paparan E5 AMOLED-nya pula, ia hadir sebesar 6.73 inci dengan resolusi 3,200 x 1,440 piksel dengan kecerahan maksimum 1,500 nit dan disertakan teknologi LTPO 2.0. Ia juga menyokong kadar segar semula dinamik sehingga 120Hz bersama input sentuh 480Hz, sokongan HDR10+ dan mempunyai pengiktirafan Dolby Vision. Skrinnya turut sama mendapat A+ daripada DisplayMate.



Yang menjadi tumpuan model Pro ini ialah kameranya -- tiga kamera 50MP. Kamera utamanya menggunakan Sony IMX707 dengan OIS dan sensor 1/1.128 inci, kemudian sebuah kamera telefoto dan sebuah lagi kamera ultra lebar yang juga buatan Samsung. Seperti versi bukan Pro, kamera swafotonya juga 32MP.



Untuk storan, ia juga menggunakan LPDDR5 dan teknologi UFS 3.1. Tiga varian ditawarkan iaitu 8GB+128GB pada harga CNY4,699 (~RM3,080). 8GB+256GB pada harga CNY4,999 (~RM 3,280) dan 12GB+256GB pada harga CNY5,399 (~RM3,540).



Ciri tambahan lain ialah pembesar suara yang disunting Harman/Kardon, Dolby Atmos, pengesan cap jari bawah skrin, menyokong Wi-Fi 6E dan menggunakan Corning Gorilla Glass Victus.

Buat masa ini masih tiada maklumat lanjut bila Xiaomi Malaysia akan membawanya ke pasaran tempatan.

Baca juga: