Beberapa hari lepas, seluruh dunia tidak senang akan tindakan WhatsApp yang mengemas kini dasar privasi baharu dalam aplikasi permesejan mereka.
Dalam kemas kini tersebut, WhatsApp dikatakan memaksa pengguna untuk berkongsi data bersama Facebook seperti pembelian barangan, maklumat kewangan dan lain-lain.
Susulan daripada itu, WhatsApp mengeluarkan kenyataan rasmi di mana perkongsian data hanya diguna pakai untuk akaun perniagaan sahaja. Mereka juga menjelaskan tidak ada berubah terhadap data permesejan pengguna serta masih end-to-end encrypted.
Menurut laporan daripada The Verge, WhatsApp memberi tahu bahawa dasar baharu ini akan dilaksanakan mulai 8 Februari 2021 untuk semua pengguna Android dan iPhone.
Tambah WhatsApp, kemas kini baharu tersebut juga adalah bertujuan untuk menyediakan perkhidmatan yang baik kepada pelanggan terutama sekarang lebih ramai menggunakan WhatsApp untuk menjalankan perniagaan.
Ini bermakna, WhatsApp memudahkan peniaga untuk berkomunikasi dengan lebih baik dan selamat dengan menerima perkhidmatan hosting daripada Facebook. Mereka masih lagi komited untuk menjaga privasi pengguna.
Selain itu, WhatsApp pantas mengeluarkan kenyataan rasmi ini sejak Elon Musk melakukan ciapan di akaun Twitter untuk menyarankan orang ramai beralih kepada aplikasi Signal.
Sumber: The Verge