vivo V20 SE Rasmi Dilancarkan Dengan Harga Bermula RM 1,199

Pada awal bulan lalu, vivo Malaysia telah mengumumkan peranti pintar terbaru mereka iaitu V20 SE yang merupakan peranti edisi istimewa dalam siri V yang memfokuskan "mobilegraphy".

Hari ini, vivo Malaysia telah mengumumkan harga jualan rasmi untuk peranti ini yang harga bermula RM 1,199.



Peranti ini merupakan peranti kelas pertengahan. Ia dijanakan cip Snapdragon 665 dengan paparan 6.44 inci AMOLED. Pada bahagian hadapan, terdapat kamera swafoto dengan 32MP dan mempunyai ciri seperti peranti vivo lain iaitu Super Night Selfie.

Selain itu, ia dimuatkan dengan bateri berkapasiti sebesar 4,100mAh dengan pengecasan pantas 33W Flash Charge 2.0 yang memberikan ia dicas penuh dalam masa satu jam. Peranti ini hadir dengan RAM 8GB dan storan sebanyak 128GB.

V20 SE ini juga menjalankan antara muka vivo sendiri iaitu FunTouch OS 11. Pada bahagian belakang, terdapat tiga lensa dengan 48MP pada kamera utama, 8MP sensor ultra lebar dan 2MP lensa potret.



vivo menawarkan dua warna bagi vivo V20 SE iaitu Gravity Black dan Oxygen Blue dan boleh dibeli mulai hari ini. Bagi pelanggan yang membeli peranti ini dari 24 September hingga 2 Oktober, anda akan dapat hadiah eksklusif bernilai RM 199.