vivo baru sahaja melancarkan tiga telefon pintar baharu – X70, X70 Pro dan X70 Pro+. Kali ini, mereka melancarkan kesemuanya serentak, tidak seperti siri vivo X60.
Bermula dengan varian standard dan pro, kedua-duanya menampilkan spesifikasi yang hampir sama. Ia dilengkapi skrin berukuran 6.56 inci AMOLED dengan kadar segar semula 120Hz dan HDR10+.
X70 hadir dengan cip MediaTek Dimensity 1200, memori hingga 12GB, storan dalaman 128GB atau 256GB dan bateri 4400mAh dengan pengecasan 44W.
Manakala X70 Pro pula mempunyai cip Exynos 1080, memori hingga 12GB, storan dalaman hingga 512GB dan bateri 4450mAh serta pengecasan 44W.
Beralih pada tumpuan dalam siri ini, X70 hanya mempunyai tiga lensa yang mana 40MP utama serta padanan 12MP bagi telefoto dan ultra lebar.
Sementara X70 Pro pula hadir dengan empat lensa – 50MP utama, 12MP ultra lebar dan telefoto serta 8MP zum periskop. Namun, sedikit kelebihan pada varian ini kerana dimuatkan dengan cip vivo V1 ISP, iaitu cip pemprosesan imej dari vivo untuk memberikan kualiti foto jauh lebih baik.
Untuk “abang besar” dalam siri ini, vivo X70 Pro+ adalah telefon lebih berkuasa. Dilengkapi skrin 6.78 inci dengan panel Samsung E5 LTPO AMOLED 120Hz dan mempunyai kecekapan penggunaan tenaga lagi cemerlang.
Di belakangnya, terdapat 4 lensa – 50MP Samsung GN1 utama, 48MP IMX598 ultra lebar dengan gimbal, 12MP telefoto dan 8MP zum periskop bersama-sama cip pemprosesan imej vivo V1. Manakala lensa swafoto 32MP hadir padanya dan juga X70 serta X70 pro.
Melengkapkannya adalah cip Snapdragon 888+, memori hingga 12GB, storan dalaman 256GB atau 512GB dan bateri 4500mAh dengan pengecasan pantas 50W.
Di samping itu, kesemua siri vivo X70 ini turut mempunyai kamera yang disaluti ZEISS T* Coating. Anda boleh ketahuinya lebih lanjut di SINI.
Bagi harga jualan, X70 adalah bermula 3699 yuan (~RM2380), X70 Pro pula bermula 4299 yuan (~RM2765) dan X70 Pro+ 5500 yuan (~RM3538).
Sekiranya anda berminat, siri vivo X70 akan tiba di pasaran tempatan tidak lama lagi, iaitu pada 22 September ini.
Sumber: vivo China
Baca juga: