Siri vivo X70 secara rasminya akan dilancarkan di China pada 9 September ini. Seperti biasa, kolaborasi antara vivo bersama ZEISS meneruskan lagi kemampuan dalam fotografi bagi siri tersebut.
Kalau anda nak tahu, perkara yang paling menarik pada siri vivo X70 adalah kameranya disaluti ZEISS T* Coating. Jadi, apa itu T* Coating?
Kamera Umpama Tiada Lapisan Kaca
Kaca sifatnya tetap sama, selain tetap akan pecah, ia juga mempunyai pantulan cahaya. Di sinilah penyelesaian yang dilakukan ZEISS. Mereka membangunkan T* Coating dan menerapkannya pada lensa kamera.
Tujuannya adalah untuk menghilangkan kesan ghosting dan flare (suar). Dahulunya, teknologi ini hanya terdapat dalam lensa kamera DSLR. Namun kini anda boleh keluarkannya dari poket seluar sahaja.
Dengan ini, anda mampu membawakan fotografi waktu malam anda ke satu tahap yang berbeza daripada rakan-rakan.
Gimbal Jauh Lebih Stabil
vivo pertama kali mengetengahkan teknologi gimbal dalam vivo X50 Pro. Semakin hari semakin baik, itulah yang dibawa oleh vivo.
Melalui siri vivo X70, kameranya dilengkapi Ultra-Sensing Gimbal. Jika siri X50 hanya mempunyai 3-paksi (3-axis), siri ini mempunyai 4-paksi pula.
Penting ke?
Ini yang masih keliru. Teknologi gimbal dalam kamera telefon pintar sememangnya diperlukan. Bukan hanya terhad untuk membuat rakaman video, tetapi juga ketika mengambil gambar pada waktu malam.
Saat anda mahu mengambil detik indah di kawasan yang kurang cahaya atau situasi tangan anda bergetar, gimbal inilah menyelamatkan anda.
Tambahan lagi, vivo menjanjikan pengalaman fotografi lebih cemerlang tanpa anda perlu pening bagaimana untuk menghasilkan gambar yang cantik.
Anda hanya keluarkan telefon, buka kamera dan ‘snap’ sahaja. Bercakap tentang tangan bergetar, gambar-gambar bintang atau long exposure pun akan lebih cun kerana adanya gimbal.
Rekaan Cantik, Spesifikasi Menarik
Terdapat tiga varian yang diperkenalkan vivo, iaitu X70, X70 Pro dan X70 Pro+. Kedua-dua X70 dan X70 Pro dilengkapi skrin berukuran 6.56 inci dengan paparan AMOLED FHD+ serta kadar segar semula 120Hz dan kamera swafoto 32MP.
Mereka juga dikuasakan cip pemproses Exynos 1080, bateri berkapasiti 4400mAh dan 4450mAh dengan sokongan pengecasan pantas 44W.
Dari segi kamera, X70 mempunyai tiga tetapan kamera dimana 40MP utama, 12MP ultra lebar dan 12MP potret. Sementara X70 Pro terdapat 4 kamera – 50MP utama, 12MP ultra lebar, 12MP potret dan 8MP periskop.
Manakala varian lebih berkuasa, vivo X70 Pro+ dilengkapi skrin 6.78 inci E5 AMOLED beresolusi QHD+, kadar segar semula 120Hz dan kamera swafoto 32MP.
Ia menerima janaan cip pemproses Snapdragon 888+, bateri 4500mAh dan pengecasan 55W. Kameranya pula, 4 tetapan yang mewakili 50MP, 48MP ultra lebar, 12MP potret dan 8MP zum periskop.
Di samping itu, rekaan barisan telefon ini juga slim tetapi masih sedap dipegang pada tangan. Malah, pilihan warna yang ditawarkan juga lebih menarik.
Sabar, Siri vivo X70 Akan Masuk Malaysia
Bagi anda yang penggemar fotografi mahupun videografi, pasti sudah tidak sabar untuk mendapatkannya. Jangan khuatir, tidak perlu kelam kabut dengan membelinya secara terus dari China.
Hal ini demikian kerana telefon pintar ini bakal memasuki pasaran tempatan dalam masa terdekat. Tambahan lagi, dipercayai siri X70 di Malaysia turut dilengkapi kamera yang disaluti ZEISS T* Coating serta teknologi penstabilan Ultra-Sensing Gimbal.
Oleh itu, sama-sama kita nantikan pengumuman rasmi daripada vivo Malaysia.
**Artikel ini dibawakan oleh vivo Malaysia