Vivo Bakal Lancar 5 Telefon Pintar 5G Menjelang Tahun 2020

Vivo dilaporkan dalam perancangan untuk melancarkan lima telefon pintar 5G dalam tahun 2020 yang akan datang ini, sambil memberi tumpuan kepada julat harga rendah dan sederhana.

Menurut Qin Fei, Ketua Pengurus Institut Penyelidikan Komunikasi Vivo, syarikat itu merancang untuk mengembangkan perkongsiannya bersama Qualcomm dengan memperkenalkan lebih banyak peranti pada harga yang berpatutan serta mempunyai sambungan 5G.

Matlamat semasa adalah untuk memperkenalkan peranti 5G dengan harga 2000 RMB (RM1183.21) di China, memberi tumpuan kepada harga yang lebih murah sambil menawarkan pengguna dengan pilihan yang pelbagai.

Menurut IDC menerusi laporan penghantaran telefon bimbit 5G China Q3 2019 pada September lalu memperlihatkan negara China menerima kira-kira 485,000 telefon pintar 5G. Pada suku tahun ketiga 2019, syarikat Vivo sahaja telah menyumbang 54.3% daripada semua telefon pintar 5G yang dihantar ke China, jauh di hadapan meninggalkan pengeluar telefon pintar lain.