Vivo AR Glass, Hidup Dengan Lebih Interaktif Dalam Era 5G



Seperti mana yang anda tahu, teknologi AR (Augmented Reality) semakin menjadi perhatian bukan sahaja pada pengguna, tetapi ia turut memberi dorongan kepada pembangunan aplikasi baru berteraskan AR seperti ARCore, Ikea Place dan beberapa permainan seperti PokemonGo dan sebagainya.

Dalam acara MWC Shanghai 2019, Vivo turut mempersembahkan sebuah kaca mata AR yang bakal merubah cara kita berinteraksi dalam era 5G. Melalui sambungan 5G, latency dan sambungan akan menjadi lebih baik maka kesempatan ini diambil oleh Vivo untuk mengetengahkan aplikasi AR secara real-time  melalui kaca mata.



Kaca mata dari Vivo ini dibina dengan dua paparan skrin bersama teknologi 6DOF. Selepas kaca mata ini disambungkan ke telefon pintar, pengguna dapat merasai pengalaman melalui pelbagai aplikasi yang disediakan.



Antara aplikasi yang diketengahkan oleh pihak Vivo ketika ini adalah Mobile Office, AR Games, video 3D HD, 5G Theater, pengecaman wajah dan pengecaman objek.



Kaca mata AR dari Vivo akan memancarkan paparan dan telefon pintar akan dijadikan sebagai alat kawalan. Dari sini pengguna dapat menukar aplikasi ke aplikasi mengikut kehendak pengguna. Telefon pintar juga akan berfungsi sebagai konsol permainan



Namun, kaca mata AR dari Vivo ini belum lagi dalam bentuk terakhir kerana ia masih lagi dalam proses pembinaan dan prototaip. Ia hadir dengan rekaan futuristik, seakan kaca mata 3D yang digunakan di panggung wayang dan di bahagian atas terdapat sistem penyejukan.



Harapnya mereka akan meneliti dan mempertimbangkan golongan pengguna berkaca mata untuk merasai pengalaman AR secara praktikal.