(Ulasan) Redmi Note 7 – 6 Sebab Kenapa Anda Perlu Memiliki Peranti Ini

Reading Time: 5 minutes

Beberapa tahun sudah, siri Redmi adalah antara model yang mendapat sambutan hangat dari pembeli tempatan. Antara yang disebut-sebut ketika itu adalah Redmi Note 3 yang mempunyai spesifikasi agak baik disamping kuasa bateri yang mengagumkan.

Tahun-tahun selanjutnya Xiaomi datang menghadirkan model-model baru dalam siri tersebut sehinggalah pada awal tahun ini, Redmi sah dipisahkan dan tampil sebagai sub-jenama syarikat dari Haidian itu.

Bergelar sub-jenama, peranti pertama yang diperkenalkan adalah Redmi Note 7 diikuti dengan model Pro yang mana ia berbeza sedikit dari spesifikasi mengikut pasaran terbesar mereka, China dan India.

Dirasmikan untuk pasaran Malaysia pada 19 Mac lepas, Redmi Note 7 bakal dijual bermula 27 Mac depan dan untuk itu, mari kita ikuti pandangan kami setelah seminggu lebih menggunakan peranti ini.

Spesifikasi yang dibawa Redmi Note 7

  • Skrin paparan 6.3 inci IPS LCD dengan resolusi FHD+ bernisbah 19.5.:9
  • Snapdragon 660
  • Kamera belakang 48MP + 5MP
  • Kamera hadapan 13MP
  • RAM 3GB dan RAM 4GB
  • Storan dalaman 32GB dan 128GB
  • MIUI 10 berasaskan Android Pie 9
  • Bateri 4000mAh, Quick Charge 4.0 bagi sokongan pengecasan 18W.

Ini Adalah 5 Sebab Kenapa Anda Perlu Memiliki Redmi Note 7

1. Rekaan yang kukuh Dan Tahan Lasak

Dari segi rupa bentuk, walaupun panel belakangnya berkilau-kilau namun ia kelihatan biasa sahaja. Tidak banyak yang boleh diperkatakan. Sekilas pandang pada panel belakang, anda mungkin menyangka ia adalah Huawei Nova 3i.

Binaannya dirasakan kukuh, walaupun bingkai plastik digunakan mengelilingi peranti dan bagusnya, ia sedikit lebar dan mengurangkan rasa licin membuat genggaman tangan lebih kemas.

Anda pastinya sudah menonton video-video yang bertebaran diinternet, memperlihatkan ketahanan peranti ini. Dipijak atau dihentak pada objek keras, tetapi ulasan kami tidaklah sampai ke tahap itu. Panel hadapan dan belakang Redmi Note 7 dilindungi dengan Gorilla Glass 5.

Earpiece terletak diatas takuk umpama “titisan embun” yang menghiasi hadapan peranti dan dagu bawahnya dirasakan sedikit tebal.

 

Sisi kanan diletakkan dengan butang kuasa dan pelaras kelantangan bunyi, sisi kanan pula hanya mempunyai slot hybrid dwi-sim nano serta sokongan kad MikroSD.

Diatas dihuni dengan bicu audio 3.5mm serta fungsi IR Blaster, membolehkan ia dijadikan sebagai alat kawalan jauh untuk TV dan peranti elektronik lain.

Bahagian bawah ditempatkan dengan port pengecasan USB-C dan pembesar suara.

2. Paparan antaramuka MIUI 10 Mesra Pengguna

Peranti ini menjalankan antaramuka MIUI 10 berasaskan Android 9 Pie. Bagi anda yang biasa menggunakan sistem antaramuka ini pasti sudah maklum bahawa ia tidak mempunyai app drawer.

Sapuan kekanan skrin akan membawa anda ke pada paparan untuk pintasan bagi aplikasi yang selalu digunakan, berita, nota dan sebagainya.

Akses kepada recent apps pula dipaparkan dengan susunan menegak, dengan ini anda dapat melihat 4 aplikasi sekaligus dan bukannya 1 aplikasi seperti kebiasaan. Diatasnya terdapat menu pintasan bagi Cleaner, Security Scan, Deep Clean dan Manage Apps.

Dengan skrin 6.3 inci, Redmi Note 7 menghidangkan paparan yang tidak kurang hebatnya. Ia mempunyai tiga tetapan bagi mod warna, Default, Warm dan Cool. Bagi kontras pula ia boleh dipilih antara perubahan secara automatik mengikut cahaya yang tersedia, tingkatkan kontras ataupun kekalkan kontras.

Navigasi boleh dibuat sama ada dengan butang maya atau gerak isyarat seperti sapuan dari sisi untuk kembali ke paparan sebelumnya, sapuan jari dari bawah keatas untuk dibawa terus ke paparan utama dan gerak isyarat sama ditambah dengan henti seketika untuk paparan recent apps.

Antaramuka ini juga sedia terpasang dengan aplikasi dari Xiaomi seperti File Manager, Mi Calculator, Mail, Compass, Screen Recorder, QR Scanner dan Mi Remote.

3. Prestasi Snapdragon 660 Yang Efisyen

Redmi Note 7 dikuasakan oleh cip pemprosesan Snapdragon 660. Seperti kebanyakkan peranti yang menggunakan cip ini, ia dilihat memberikan prestasi yang hampir serupa.

Buka serta lancarkan aplikasi tanpa sebarang masalah dan ia selesa digunakan untuk pengguna biasa.

Aplikasi permainan seperti PUBG dan PES 2019 juga boleh dimainkan dengan tetapan terbaik adalah pada tahap medium.

4. Kamera 48MP, Calon Kamera Terbaik Untuk Kelasnya.

Model ini merupakan antara telefon pintar yang terawal dilengkapi dengan sensor 48MP. Walaupunbegitu, sensor yang digunakan adalah dari Samsung GM1. Ia menggunakan teknologi Quad Bayer yang mana menghasilkan gambar dengaan saiz 12MP. Kualiti gambarnya dilihat tajam bersama saturasi warna yang cantik.

Bagi yang mahu merakam pada sensor 48MP, anda boleh ke mod Pro. Kami dapati kamera 48MP adalah memuaskan dengan menggunakan perisian untuk mengekalkan perincian dan warna gambar. Berguna jika anda mahu ‘crop’ gambar atau zoom. Tetapi ia tidak digalakkan menggunakan kamera 48MP pada waktu malam kerana imej akan kehilangan sedikit gelap.

Rakaman pada waktu malam dengan mod Night memuaskan hati kami. Kualiti imej yang diberikan seimbang dari segi warna serta menampakkan perincian pada objek yang dirakam.

Turut menemani lensa utama adalah sensor 5MP untuk kesan depth seperti pada rakaman mod potret.

Aplikasi kamera kelihatan seperti biasa dengan ciri-ciri sokongan seperti HDR, AI Beauty, potret dan lain-lain.

Bagi rakaman bahagian hadapan, Redmi Note 7 dibekalkan dengan sensor 13MP dan ia memberikan foto yang juga baik seperti mod Potret, walaupun hanya menggunakan lensa tunggal sahaja.

Rakaman gerak perlahan boleh dibuat pada 1080p atau 720p dengan kadar 120fps.

5. Bateri Tahan Lama

Redmi Note 7 dijana dengan bateri 4000mAh dan prestasi efisien daripada Snapdragon 660, mampu memberikan “nyawa” yang lebih lama untuk peranti ini.

Berdasarkan penggunaan kami, ia mampu bertahan menghampiri 2 hari. Ia menyokong pengecasan Quick Charge 4.0 tetapi tidak menyertakan pengecas dengan sokongan itu.

Bateri diisi penuh untuk tempoh masa lebih kurang 2 jam 40 dengan pengecas yang disediakan dari dalam kotak.

6. Harga Murah Dengan Spesifikasi Yang Ditawarkan

Redmi Note 7 dirasmikan untuk pasaran Malaysia pada harga RM679 (RAM 3GB/32GB), RM799 (RAM 4GB/64GB) dan RM 949 (RAM 4GB/128GB). Menariknya juga, peranti ini turut disertakan dengan jaminan 18 bulan oleh Mi Malaysia dan ini dilihat antara faktor penarik untuk pengguna mendapatkannya.

Dengan tanda harga ini, ia boleh disifatkan sebagai antara peranti kelas pertengahan yang berbaloi untuk dimiliki.