Nama Keychron tidak perlu diperkenalkan lagi sekiranya anda memang meminati dunia papan kekunci. Jenama ini cukup popular baik untuk gaming mahupun kerja-kerja harian biasa. Ia juga sesuai untuk PC Windows dan Mac.
Kini, Keychron kembali lagi dengan papan kekunci terbaru mereka, Keychron K2 HE. Dengan teknologi Hall Effect, ia menawarkan pengalaman menaip yang lebih responsif serta pelbagai ciri menarik pada harga yang lebih mampu milik berbanding model premium seperti Keychron Q1 HE.
Jadi, Adakah ia pilihan yang berbaloi untuk pengguna harian dan gamer? Anda kena teruskan membaca.
Rekaan dan binaan
Keychron K2 HE hadir dalam dua versi iaitu Standard Edition (warna hitam) dan Special Edition yang menampilkan pilihan warna hitam atau putih dengan kemasan kayu di sisi. Macam yang saya gunakan ini ialah special edition berwarna putih.
Reka bentuknya solid dan elegan, memberi aura premium walaupun pada harga yang lebih rendah berbanding model premium lain. Butang kekuncinya (key cap) menggunakan double-shot PBT, memberikan ketahanan lebih lama serta permukaan yang selesa untuk jari.
Tambahan lagi, lebih 22+ pencahayaan RGB ditawarkan dan boleh dipilih mengikut cita rasa.
Namun, satu kekurangan yang ketara adalah ia agak berat berbanding pesaingnya. Jika anda kerap membawa papan kekunci ke tempat kerja atau bermain di lokasi berbeza, ini mungkin faktor yang perlu dipertimbangkan.
Teknologi ‘Hall Effect’ kunci utama
Keunikan utama K2 HE terletak pada teknologi ‘Hall Effect’ yang membolehkan pengguna menyesuaikan titik penggerakan (actuation point) setiap suis sehingga 0.2mm. Bayangkan dapat mengubah kepekaan setiap kekunci mengikut keperluan anda — sama ada untuk gaming yang memerlukan respons pantas atau menaip yang memerlukan ketepatan.
K2 HE menggunakan suis Gateron Nebula Double-Rail Hall Effect yang terkenal dengan kepantasan dan kepekaan tinggi. Ciri ini membolehkan pengguna menyesuaikan actuation point mengikut keselesaan.
Untuk menaip, papan kekunci ini memberikan pengalaman yang lembut dan lancar, sesuai untuk sesi menaip panjang tanpa menyebabkan keletihan jari.
Tambahan pula, bunyi ‘thocky’ ketika menaip pada papan kekunci sangatlah sedap didengar. Bagi saya, bunyi itu akan membuatkan peminat papan kekunci teruja. Bak kata Captain America, “I can do this all day”.
Untuk gaming, K2 HE mempunyai beberapa kelebihan utama. Pertama sekali, Rapid Trigger yang membolehkan kekunci bertindak balas lebih pantas tanpa perlu melepaskan sepenuhnya sebelum ditekan semula.
Seterusnya, titik penggerakan berbilang di mana setiap kekunci boleh mempunyai sehingga empat tahap input bergantung pada kedalaman tekanan.
Sebagai contoh, anda boleh mengaturkan kekunci ‘W’ untuk berjalan, berlari, merangkak dan meniarap hanya dengan satu tekanan yang berbeza kedalaman.
Akhir sekali, Last Key Prioritization (LKP). Fungsinya membolehkan pemain menukar arah pergerakan dengan lebih cepat dalam permainan FPS seperti Counter-Strike 2 atau Valorant.
Sambungan
K2 HE menawarkan kadar polling 1,000Hz melalui sambungan berwayar dan 2.4G, manakala 90Hz melalui Bluetooth.
Walaupun tidak secepat sesetengah papan kekunci gaming premium, ia masih mencukupi untuk kebanyakan pemain termasuk yang serius.
Bateri 4,000mAh memberikan hayat penggunaan 2-3 minggu, walaupun penggunaan RGB akan mempengaruhi jangka masa ini.
Tak semua indah
Setiap perkara mesti ada kekurangannya. Bagi saya, papan kekunci ini ada benda yang membuatkan saya sedikit kecewa.
Paling besar bagi saya adalah tiada perisian natif. Maknanya, Keychron tidak menyediakan perisian secara rasmi, sebaliknya pengguna perlu bergantung pada ‘launcher’ berasaskan pelayar web yang hanya boleh digunakan apabila ia disambung secara berwayar.
Selain itu, ‘switch’ yang digunakannya juga bukan jenis arus perdana dan tidak banyak di pasaran. Jadi, sedikit sukar sekiranya ingin mencari ganti atau menukar di masa hadapan.
Walaupun papan kekunci ini tahan lama dan jimat bateri, tapi ia mengambil masa sekitar 4 jam untuk cas penuh.
Papan kekunci ini pun agak tinggi dan dengan ketiadaan ‘palm rest’, agak letih dan tidak selesa apabila digunakan dalam tempoh lama. Nak tak nak, kena beli juga aksesori ‘palm rest’.
Bagi saya, ia bukanlah kekurangan yang besar. Cumanya, untuk tanda harga sebegini, perkara kecil ini saya memang menitikberatkan.
Berbaloi atau tidak?
Keychron K2 HE mungkin bukan papan kekunci yang sempurna, tetapi inovasi teknologi Hall Effect membuatnya istimewa.
Walaupun harganya mungkin agak tinggi dan terdapat beberapa kekurangan, keupayaannya dalam memberikan pengalaman gaming dan menaip yang boleh disesuaikan membuatnya menjadi pilihan yang menarik untuk pengguna yang menghargai fleksibiliti dan prestasi tinggi.
Oleh itu, jika anda mencari papan kekunci Hall Effect yang lebih mampu milik, Keychron K2 HE adalah pilihan yang sangat baik dan berbaloi.
Walau bagaimanapun, jika anda mencari papan kekunci yang ringan, disediakan sekali palm rest, atau lebih mesra perisian, mungkin anda perlu mempertimbangkan alternatif lain.
{suggest}