(Ulasan) Infinix Note 12 G96 - Harga Dengan Prestasi Berbaloi

Infinix Note 12 G96 merupakan salah satu peranti Infinix dalam siri Note 12 pada tahun 2022. Peranti ini baru dilancarkan pada bulan Mei lepas dan dijual pada tanda harga rasmi bermula RM749 untuk variasi 8GB memori dan 128GB storan.

Infinix Note 12 dikuasakan Mediatek MT6781 Helio G96 (12 nm), bateri sebesar 5,000mAh dan skrin AMOLED berukuran 6.7 inci dengan resolusi FHD+.

MediaTek Helio G96 merupakan sebuah cip pemprosesan gaming ultra jadi kita boleh jangkakan bahawa ini merupakan sebuah peranti gaming bajet yang lebih berkuasa di dalam kelasnya.

Mari kita lihat prestasinya dalam ulasan ini.

Prestasi "gaming" di luar jangkaan


Dalam pengujian peranti ini dalam mengendalikan permainan Genshin Impact, tetapan lalainya (default) telah ditukar kepada yang tertinggi dengan kadar segar semula pada 60Hz.



Usai sudah mencuba bermain Genshin Impact pada tetapan tersebut, Infinix Note 12 mampu memberikan saya pengalaman yang tidak kurang baiknya tetapi tidaklah setanding peranti dengan cip yang lebih berkuasa diluar sana.



Saya boleh katakan paparan yang diberi lancar, smooth dan lebih baik daripada apa yang saya jangkakan. Tambahan lagi, perubahan suhu yang berlaku tidak terlalu panas dan boleh diterima.



Oleh itu, saya memuji akan prestasi pengurusan kuasa yang optimum dan cekap pada Note 12 G96 ini. Akan tetapi, timbul ketidakselesaan ketika saya menggerakkan skrin terlalu laju ketika bermain Genshin Impact.

Ketidakselesaan tersebut adalah paparan yang memberi bebanan kepada mata ketika melihat. Hal ini mungkin kerana kesukaran peranti ini untuk memberikan dan mengekalkan kadar segar semula dengan resolusi grafik yang tinggi.



Oleh itu, saya menasihatkan anda untuk mengekalkan tetapan lalai atau menetap grafik pada pilihan normal dalam Genshin Impact. Pilihan ini mampu memberi anda pengalaman permainan yang lebih baik dan seimbang di samping melancarkan sesi gaming anda.

Bateri dengan kapasiti gergasi


Infinix Note 12 G96 disokong dengan bateri bersaiz 5,000mAh dan sudah semestinya mampu menyokong penggunaan penuh dalam aktiviti seharian penggunanya.

Pada penggunaan yang ekstrem seperti bermain permainan mudah alih secara berterusan, saya mendapat waktu penggunaannya sekitar 4 jam pada tetapan grafik medium.

Selain itu, peranti ini mampu bertahan waktu penggunaan satu hari penuh jika anda menggunakan sebagai peranti profesional harian. Anda akan mendapat waktu penggunaan melebihi 4 jam dalam penggunaan seperti menonton video, drama atau filem, bermain media sosial dan mendengar lagu.

Kelemahan


Infinix memberikan produk yang cukup baik kepada pengguna dan pasaran telefon pintar pada harga berpatutan. Tetapi, peranti Note 12 G96 ini memerlukan masa pengecasan yang agak lama untuk mencapai kapasiti penuh.

Dalam gambar di bawah, peranti ini memerlukan masa melebihi 1 jam 30 minit untuk mengecas daripada kapasiti bawah 5% hingga penuh.



Tambahan lagi, kadar pengecasannya yang perlahan menyukarkan pengguna sekiranya sebarang perkara kecemasan yang memerlukan kita untuk menggunakan peranti ini dalam masa yang cepat.

Perkara yang berlaku ini diluar jangkaan saya tetapi tidak dialu-alukan dek kerana pengecas yang disertakan bersama mempunyai kapasiti 33W.

Selain itu, saya amat tidak berminat akan binaan butang kuasa pada peranti ini yang tertanam sebaris dengan sisinya. Tambahan lagi, Infinix telah meletakkan butang suara di atas butang kuasa yang sememangnya mengelirukan saya.



Hal ini demikian, saya kerap tersalah anggap dan tersalah tekan butang suara ketika saya pada awalnya hendak menekan butang kuasa.

Perkara ini sangat melecehkan apabila kita berhadapan dengan perkara ini berulang kali setiap hari.

Gambar malam yang baik


Infinix Note 12 G96 mempunyai kamera 50MP Ultra Night Triple Camera dan kualiti tangkapan gambar waktu malam peranti ini sangat baik. Gambar yang jelas, tajam dan mampu menonjolkan aspek utama waktu malam merupakan salah satu kualiti yang ada pada hasil tangkapan peranti ini.

Berikut merupakan hasil tangkapan gambar waktu malam Infinix Note 12 G96:







Jika kita melihat perbandingan gambar-gambar di atas, sudah tentu kita tidak menyangkakan bahawa ia ditangkap dengan peranti yang berharga bawah RM800 ini.

Kesimpulannya


Infinix G96 merupakan salah satu peranti bawah RM1,000 yang menawarkan pelbagai kualiti dan ciri yang tidak setanding dengan harganya yang murah. Tambahan lagi, Infinix menawarkan sebuah peranti dengan nisbah harga-kepada-nilai yang rendah kepada anda.

Erti kata lainnya, nilai yang anda dapat lebih banyak berbanding setiap ringgit yang dibelanja untuk membeli peranti ini. Cip yang berkemampuan, ketahanan bateri yang berkualiti, skrin AMOLED pada harga bawah seribu dan kualiti kamera yang memberangsangkan adalah tarikan utama peranti ini.



Walau bagaimanapun, Infinix mungkin boleh cuba untuk memperbaiki binaan dan susunan butang kuasa dan suara peranti ini. Saya mencadangkan untuk menaikkan sikit butang kuasa disisi Note 12 G96 ini agar mudah pengguna untuk mengenalpasti dan tidak tersalah erti butang suara sebagai butang kuasa.

Selain itu, saya mencadangkan Infinix untuk mengubah posisi butang suara ke belah kiri sisi peranti supaya pengguna tidak keliru dan jelas akan kedudukan butang kuasa dan suara peranti ini.

Di samping itu, Note 12 G96 mempunyai kemampuan gaming yang memberangsangkan kerana mampu mengendalikan permainan Genshin Impact pada tetapan grafik yang tinggi. Oleh itu, anda tidak perlu risau akan prestasi peranti ini jika anda seorang pemain yang tegar mahupun kasual.

Infinix Note 12 G96 adalah pilihan yang terbaik untuk anda miliki di dalam kelasnya.

Beli jika:

  • anda mencari peranti yang berkualiti pada harga bawah RM800

  • anda merupakan pelajar yang mencari telefon pintar baharu untuk melanjutkan pengajian ke universiti

  • anda adalah food rider yang mencari peranti dengan ketahanan bateri yang baik


Jangan beli jika:

  • anda sudah membeli telefon pintar lain untuk hadiah SPM anak anda

  • anda mempunyai bajet melebihi seribu


 
Beli Infinix Note 12 G96 di:

Lazada - https://invol.co/clb7m8e

Shopee - https://invle.co/clb7m8s

Baca juga: