Nothing telah pun menyelam ke dalam dunia audio sejak tahun 2021 dengan pelancaran Nothing ear 1. Sejak itu, mereka telah mengeluarkan pelbagai jenis siri produk audio, seperti siri nombor [ear (1), ear (2), ear (3)], siri headphone (headphone 1), siri a [headphone (a), ear (a)], dan CMF Buds yang lebih bajet.
Kini, wujudnya earbuds keluaran baharu Nothing untuk menggantikan tempat Nothing ear (a), iaitu Nothing ear (3a).
Adakah ia mengancam pada harga yang ditawarkan, atau hanya sebuah lagi earbuds dalam lautan pilihan?
Reka Bentuk
Nothing tidak pernah kalah dalam bab reka bentuk. Dengan rekaan lut sinar yang menampakkan teknologi yang terkandung di dalam earbuds, ia kelihatan segar dan futuristik.
Apabila dibandingkan dengan jenama-jenama lain seperti Apple dan Sony, reka bentuk earbuds ini nampak lebih menonjol walaupun tidak banyak perubahannya sejak Nothing ear (a). Jika reka bentuk ini sudah nampak ikonik, buat apa ubah, bukan?
Seperti yang anda dapat lihat, warna merah jambu ini adalah warna terbaharu dalam siri ear (a).
Bagi saya, warnanya nampak pekat dan menonjol, tetapi Nothing sepatutnya “commit all the way” dan menerapkan warna ini secara menyeluruh, iaitu sehingga ke stem earbuds sekali. Tiada guna jika warnanya menarik, tetapi terlindung oleh telinga apabila memakainya…


Apa yang baharu pada casing earbuds ini adalah lampu status LED. Ia boleh menunjukkan baki bateri pada casing dan earbuds, dan juga apabila masuk mod ‘pairing’. Ini amat berguna untuk mengetahui status earbuds tanpa perlu membuka telefon.
Satu kekurangan yang saya lihat pada casing earbuds ini adalah ketiadaan pengecasan wayarles. Maksudnya, wayar perlu disambungkan untuk mengecasnya.
Ya, ini bukanlah suatu masalah kritikal bagi khalayak ramai, tetapi ia sepatutnya ada, lebih-lebih lagi pada julat harga RM350 ke atas. Saya merasakan kos untuk menerapkan pengecasan wayarles pada sesebuah casing earbuds tidaklah mahal.
Contohnya, EarFun Air Pro 4i yang berharga bawah RM200 mempunyai pengecasan wayarles. Jadi, ia tidak mustahil untuk diterapkan. Walaupun ia bukan ciri yang paling penting untuk kegunaan harian, tetapi ia adalah satu ciri yang berguna jika sambungan USB-C pada casing earbuds rosak.
Walau bagaimanapun, reka bentuk yang menonjol hanyalah separuh cerita. Tiada guna jika ia nampak cantik, tetapi tidak selesa dipakai dan tiada ketahanan yang baik.
Keselesaan dan Ketahanan
Pada awalnya, earbuds terasa kurang selesa kerana getah saiz M telah digunakan, dan telinga saya agak kecil. Jadi, saya perlu menukar getahnya kepada saiz S. Setelah ditukar, barulah earbuds terasa muat di telinga dan selesa dipakai selama lebih 2 jam.
Faktor lain yang menyumbang kepada keselesaan adalah muncung berbentuk bujur, dan beratnya (4.53g sahaja bagi sebelah, dan 9g bagi sepasang). Ini kerana lubang telinga kita berbentuk bujur, jadi ‘fit’ pada telinga terasa hampir sempurna. Digabungkan dengan beratnya yang ringan, ia hampir terasa seperti saya tidak memakai apa-apa earbuds.
Dari segi ketahanan pula, earbuds ini sesuai digunakan sambil berpeluh kerana ia mempunyai penarafan IP54 bagi earbuds DAN casing. Ini bermaksud, tiada masalah jika earbuds dan casing terkena air dan debu. Perlindungan yang konsisten pada earbuds dan casing sangatlah jarang bagi mana-mana earbuds, terutamanya yang lebih flagship kerana kebanyakannya hanya ada perlindungan pada earbuds sahaja dan tiada pada casing.

Bukan itu sahaja, disebabkan reka bentuk in-ear (bergetah), ia tidak mudah terjatuh dari telinga ketika berjoging dan headbanging sambil mendengar lagu-lagu rock kapak.

Jadi, setakat ini, earbuds ini nampak cantik, selesa dipakai, dan mempunyai ketahanan baik. Adakah ia boleh tahan dengan bunyi yang kuat di sekeliling?
ANC dan Transparency
Nothing mengatakan bahawa pembatalan hingar aktif (ANC) pada earbuds ini mampu membatalkan bunyi sehingga 45dB, seperti bunyi hujan dan ambien pokok di sekeliling.

Dalam aplikasi Nothing X, saya telah menetapkan ANC pada tahap ‘High’ untuk mendapatkan pembatalan bunyi yang terbaik.

Setelah saya mengujinya dalam situasi-situasi yang berbeza, dapatan saya adalah earbuds ini boleh membatalkan bunyi ambien seperti kipas, penyaman udara, dan angin. Bunyi rakan sekerja saya bercakap di dalam pejabat juga kedengaran amat perlahan.
Tetapi, ia akan bergelut untuk membatalkan bunyi orang bercakap kuat, kenderaan yang lalu di tepi jalan, bunyi bas dan tren. Ia hanya mampu membatalkan bunyi-bunyi ini sedikit sahaja. Tetapi, adalah sedikit sensasi pekak apabila memakainya.
Prestasi ANC juga bergantung kepada muatan earbuds pada telinga. Jika ia tidak ‘fit’ dengan betul, ANC akan kurang berkesan. Jika ‘fit’ baik, ANC akan lebih berkesan. Jadi, anda perlu memilih saiz getah yang paling sesuai bagi telinga anda untuk mendapatkan prestasi ANC yang terbaik.

Apabila masuk ke transparency pula, ia amat baik dan kedengaran natural. Jadi, saya boleh memakai earbuds ini sambil bercakap dengan orang tanpa perlu membukanya. Cuma, ada sedikit efek occlusion, iaitu sensasi dimana saya mendengar suara saya melalui tengkorak saya. Ini bermakna, bunyi di sekeliling saya kedengaran jelas, tetapi suara saya seolah-olah tenggelam dalam air sedikit.
Sejujurnya, saya kurang gemar dengan efek occlusion ini kerana ia mengurangkan kenaturalan ciri transparency earbuds ini. Nothing sepatutnya menguatkan suara pemakai earbuds juga, bukan bunyi sekeliling sahaja. Pada akhirnya, ia masih lagi berguna.
Jadi, ia bolehlah mengurangkan bunyi sekeliling. Bagaimana pula dengan hayat bateri? Tahan lama atau tidak?
Hayat Bateri
Nothing mengatakan bahawa earbuds ini mampu bertahan sehingga 10 jam jika mod ANC dimatikan dan codec Bluetooth AAC ditetapkan, dan hanya 6 jam jika ANC dihidupkan.
Seperti tajuk lagu kumpulan Umbrella, “Ramalan Nothing Benar Belaka”.
Setelah menggunakan earbuds ini selama 6 jam 25 minit, bateri masih lagi berbaki 30%, walaupun banyak kali bertukar antara mod transparency dan ANC. Ini pun bukanlah dengan penggunaan yang berterusan. Ada juga masa saya membuka earbuds ini seketika sebelum saya memakainya semula.
Tetapi, saya percaya bahawa ia boleh bertahan sehingga 7 jam tanpa masalah walaupun ANC dihidupkan (jika menggunakan codec Bluetooth AAC sahaja).

Mungkin hayat bateri akan berkurang lagi apabila codec LDAC digunakan, tetapi percayalah bahawa codec AAC sudah mencukupi untuk mendapatkan kualiti bunyi yang baik tanpa mengorbankan hayat bateri.
Bercakap tentang kualiti bunyi, bagaimana bunyinya?
Kualiti Bunyi
Sebelum saya mencuba Nothing ear (3a) ini, saya ada sedikit keraguan terhadap produk-produk audio daripada Nothing. Ini kerana saya telah menguji Nothing headphone (1), dan bagi saya, ia kurang memuaskan dari segi kualiti audio. Oleh sebab itu, saya terpaksa melaraskan audio dengan mengaplikasikan EQ yang ditetapkan oleh DMS, iaitu seorang YouTuber ‘audiophile’. Setelah ditukar EQ, barulah kualiti audio menjadi lebih memuaskan.
Jadi, bagaimana pula dengan Nothing ear (3a) ini? Sama kes. Tanggapan pertama saya terhadap kualiti bunyinya adalah dark, bassy, dan kurang jelas. Instrumen seperti gitar dan dram dan bunyi vokal penyanyi kedengaran sedikit tenggelam. Mungkin bassnya yang terlalu kuat menenggelamkan bunyi instrumen dan vokal…
Di sini, Nothing mensasarkan penggemar bass (bunyi yang mainstream), tetapi saya lebih gemar bunyi yang lebih neutral dan kurang bass. Mujurlah, earbuds ini menyokong aplikasi Nothing X. Ini bermakna ia boleh dilaraskan mengikut citarasa saya dengan menggunakan ciri ‘Equalizer’.
Dalam ciri ‘Equalizer’, terdapat tiga cara untuk melaraskan bunyi: ‘Simple’, ‘Advanced’, dan ‘Explore’. Saya mencadangkan untuk hanya menggunakan cara ‘Simple’ kerana ia paling mudah untuk ditetapkan. ‘Advanced’ pula adalah untuk mereka yang lebih pakar mengenai pelarasan audio dan tahu tentang cara menggunakan 8-band parametric EQ.
Dengan mengurangkan bass dan menambah treble sedikit, kualiti bunyi earbuds ini meningkat menjadi lebih jelas. Secara keseluruhannya, saya lebih gemar menggunakan talaan saya berbanding talaan asal earbuds ini. Barulah syahdu mendengarnya.
Satu perkara yang saya suka tentang earbuds ini adalah talaan saya akan disimpan dalam earbuds ini. Ini bermakna, saya tidak perlu membuka aplikasi Nothing X setiap kali saya ingin menggunakan earbuds ini dengan talaan saya. Talaan saya ini juga akan berkekalan walaupun saya menyambungkannya kepada peranti-peranti lain.
Satu perkara yang saya kurang gemar adalah betapa kuat volume earbuds ini. Bagi saya, 30% sudah pun cukup kuat.

SEBAGAI PERINGATAN, tolonglah jaga pendengaran anda dan jangan dengar lagu kuat sangat ya. Anda pastinya mahu menggunakan telinga anda untuk jangka masa yang lama, bukan?
Jadinya, dengan kualiti bunyi yang cukup memuaskan setelah ditala, bagaimana pula dengan mikrofonnya?
Mikrofon
Mudah kata, ia boleh digunakan untuk menelefon orang lain, tetapi ia masih lagi sebuah mikrofon wayarles.
Maksud saya disini, mikrofonnya boleh dipakai. Saya sempat cuba menelefon adik saya dengan menggunakan earbuds ini, dan kata adik saya, suara saya kedengaran jelas walaupun ada bunyi muzik bermain di dalam kedai ZUS. Ini kerana earbuds ini mempunyai Environmental Noise Cancellation (ENC) dimana akan ada algoritma yang akan mengurangkan bunyi sekeliling sambil menjelaskan lagi suara pengguna.
Tetapi, disebabkan ENC, suara akan kedengaran putus-putus dan kurang jelas jika bercakap dengan perlahan. Jadi, saya perlu kuatkan sedikit suara agar adik saya dapat mendengar.
Pastinya mikrofon ini tidak akan dapat melawan mikrofon berwayar, tetapi ia masih lagi berguna pada akhirnya.
Adakah itu sahaja terkandung dalam earbuds ini? Semestinya tidak.
Kawalan dan Ciri-ciri Lain
Nothing ear (3a) menggunakan kawalan yang hampir mirip AirPods, iaitu ‘pinch & squeeze’, tetapi tiada kawalan sentuh dan ‘swipe’. Walaupun saya telah menggunakan earbuds ini selama hampir seminggu, saya masih lagi tidak biasa dengan kawalan seperti ini.

Satu perkara yang saya perasan pada awal penggunaan earbuds ini, tiada kawalan untuk melaraskan volume bunyi. Jika saya ingin melakukan sedemikian, saya perlu memuat naik aplikasi Nothing X untuk mendapatkan kawalan tersebut pada earbuds ini. Saya tidak pasti mengapa Nothing menetapkannya sebegini.
Sekurang-kurangnya, kawalan pada earbuds boleh ditukar.
Satu kebaikan kawalan ‘pinch & squeeze’ adalah tiada sentuhan secara tidak sengaja seperti earbuds-earbuds lain, tetapi saya masih lagi tidak menggemarnya.
Walaupun kawalan earbuds ini sedikit menjengkelkan bagi saya, ciri lainnya seperti in-ear detection sangatlah berguna kerana muzik akan berhenti secara automatik jika saya mencabut salah satu earbud dari telinga. Pakai earbud semula, dan muzik akan sambung bermain.
Satu lagi ciri yang berguna adalah Google Fast Pair. Jadi, apabila earbuds ini dalam mod ‘pairing’, satu ‘pop-up’ akan keluar pada mana-mana telefon Android untuk melakukan setup dan menyambungnya.

Ia tidak terhenti di situ sahaja. Ada juga dual connection yang membolehkan earbuds ini untuk sambung ke dua peranti secara serentak. Ini memudahkan saya untuk berhentikan video pada peranti 1 dan terus mainkan muzik pada peranti 2 tanpa perlu memutuskan sambungan daripada peranti 1.

Satu lagi yang berguna adalah aplikasi Nothing X. Ya, saya tahu kebanyakan daripada anda akan memutarkan mata apabila diminta memasang satu lagi aplikasi, memandangkan sudah begitu banyak aplikasi lain yang sedia ada pada telefon anda. Tetapi, aplikasi ini benar-benar membuatkan earbuds ini lebih berkemampuan berbanding dalam keadaan “out of the box”.
Ciri terakhir yang mungkin berguna untuk segelintir pengguna adalah Audio Snapshot. Melalui storan terbina 32MB, anda boleh merakam audio (seperti media terpasang di YouTube, dan panggilan bersama seorang rakan) sehingga 1 minit bagi setiap fail, dengan had maksimum keseluruhan 2 jam. Tetapi, untuk mengakses dan menyimpan audio rakaman, anda perlu log masuk akaun dalam aplikasi Nothing X ini.
Segala rakaman di earbuds akan dipindahkan ke aplikasi secara automatik sebaik sahaja aplikasi ini dibuka. Namun, perlu diingat bahawa ciri ini tidak boleh digunakan jika codec LDAC dihidupkan.
Apa yang mengecewakan, fungsi transkripsi audionya akan ada langganan berbayar (subscription), bagi mod Pro secara spesifik. Ini bermaksud, selepas habis 3 bulan cubaan percuma, anda perlu melanggan untuk terus menggunakan mod Pro.
Setakat ini juga, ciri Audio Snapshot tidak boleh digunakan untuk merakam audio suara (voicenotes) untuk ditranskripsikan… Bagi saya, ciri ini nampak kurang berguna.
Berbaloi Tak?
Mudah kata: Ya, masih lagi berbaloi walaupun ada isu-isu seperti bunyi yang terlalu bassy, kawalan yang kurang intuitif, dan Audio Snapshot yang tidak banyak kegunaannya.
Disebabkan sokongan aplikasi Nothing X, IP54 pada earbuds dan casing, bateri yang tahan lama, ANC yang cukup baik, dan transparency yang natural, ia sememangnya sebuah earbuds yang masih boleh dipertimbangkan.
Tetapi, pada tanda harga rasmi RM399, ia bergelut untuk bersaing dengan earbuds jenama lain (EarFun, Anker soundcore).
Jadi, jika anda meminati jenama Nothing, Nothing ear (3a) masih lagi satu pilihan yang baik. Namun, jika anda terbuka untuk mempertimbangkan jenama lain, mungkin anda boleh memilih OnePlus Buds 4 sebagai alternatif kerana ia lebih murah (RM299-350 di Shopee) dan prestasinya tidak jauh beza.
{suggest}



























