Ujian Caj Tambahan Perkongsian Akaun Netflix Dilaporkan Hanya Timbul Kekeliruan

Netflix telah melaksanakan fasa pertama ujian terhadap caj tambahan perkongsian akaun di tiga negara Amerika Latin, namun tidak berjaya sepenuhnya.

Netflix sebelum ini telah mengatakan akan mengenakan polisi baharu berkenaan perkongsian akaun sesama pelanggan.

Sewaktu Netflix melaporkan kehilanggan pelanggan setelah lebih sedekad, mereka berkata isu orang yang berkongsi kata laluan ke akaun mereka menjadi salah satu punca.

Perkhidmatan penstriman itu mula menguji dasar pengkuatkuasaan yang lebih ketat pada bulan Mac untuk menghalang orang daripada berkongsi kata laluan dengan orang di luar "isi rumah" mereka di Costa Rica, Chile, dan Peru.

Di bawah syarat ujian ini, pelanggan dikenakan bayaran bulanan untuk menambah akaun ahli tambahan untuk pengguna yang bukan "isi rumah".

Pihak Rest of World telah berhubung dengan lebih daripada sedozen pelanggan Netflix di Peru mengatakan arahan mengenai perubahan dasar itu mengelirukan dan bahawa mereka tidak tertakluk kepada sebarang penguatkuasaan yang mengenakan caj kepada mereka kerana berkongsi kata laluan.

Apa yang mengelirukan pelanggan ialah cara Netflix mentakrifkan istilah "household" atau isi rumah dalam hal ini.

Menurut Netflix, syarikat itu sedar sesetengah pengguna menganggap ia bermaksud sesiapa sahaja dalam keluarga terdekat pemegang akaun, namun Netflix mentakrifkan isi rumah sebagai orang yang bermastautin di bawah rumah yang sama.

Rest of World turut melaporkan bahawa Netflix telah mendapat tentangan daripada agensi pengguna negeri di Costa Rica, Peru, dan Chile.

Agensi di Peru mengesyorkan agar Netflix berusaha untuk menjelaskan definisi "isi rumah" dengan pelanggan.

Agensi yang sama mengatakan bahawa dasar baharu Netflix dalam mengecaj pengguna untuk berkongsi kata laluan boleh membawa kepada diskriminasi terhadap pengguna.

Malah, turut dilaporkan bahawa wakil perkhidmatan pelanggan Netflix juga mendakwa mereka keliru dengan perkara yang perlu diberitahu kepada pemegang akaun apabila ditanya tentang dasar baharu itu.

Wakil perkhidmatan pelanggan itu berkata jika pelanggan menelefon untuk menegaskan bahawa ahli isi rumah mereka menggunakan akaun dari lokasi lain, dia diarahkan untuk memaklumkan bahawa mereka boleh terus menggunakan akaun tersebut melalui kod pengesahan tanpa menanggung caj tambahan.

Sumber: Rest of World

Baca juga: