Rockstar Games, sebuah syarikat pembangun yang sentiasa mempunyai reputasi tinggi terutama dalam menawarkan permainan bergenre dunia terbuka (open worlds).
Mereka terkenal dengan siri Grand Theft Auto (GTA), siri Max Payne dan juga siri Red Dead Redemption. Namun, masihkah anda ingat tentang Bully?
Permainan Bully mula tiba buat pasaran seawal tahun 2006 yang lalu. Kejayaan permainan ini boleh dilihat disebabkan konsep yang dibawakan Rockstar. Mananya tidak, Bully mengambil tempat di suasana sekolah asrama.
Walaupun ramai mengharap Rockstar menyambung siri permainan ini dengan memperkenalkan sekuel atau sebagainya tetapi bekas pembangun Rockstar menyatakan projek Bully 2 secara rasminya dibatalkan sejak tahun 2009 lagi.
Menurut Game Informer, Bully 2 ini dikatakan sedang aktif dibangunkan dalam tempoh 12 hingga 18 bulan. Malah, lebih 50 hingga 70 pekerja sedang bekerja dalam pembangunannya.
Akan tetapi, pada satu masa Rockstar mula bertukar arah. Mereka mula memfokuskan permainan seperti Max Payne 3 dan Red Dead Redemption.
Tambahnya lagi, kebanyakan maklumat atau konsep permainan Bully 2 yang berlegar di internet sebenarnya sahih.
Idea bagi permainan yang tidak siap ini adalah seperti konsep realistik. Teknologi yang sedang dibangunkan untuk permainan itu pun masih lagi prototaip, contohnya gelas yang pecah secara dinamik.
Ironinya di sini, teknologi tersebut akhirnya dilaksanakan buat permainan terbaru Rockstar Red Dead Redemption 2. Selain itu, watak non-playable character (NPC) pun jauh lebih bijak. Sama yang dilihat dalam permainan Red Dead Redemption 2.
Bermakna, sekiranya Bully 2 ini tidak dibatalkan, sememangnya permainan ini akan menjadi “hit” buat arena permainan video. Konsep realistik dalam permainan Rockstar memang tak dapat dinafikan antara terbaik. Agak kecewa apabila Rockstar tidak meneruskan projek Bully 2.
Pada pendapat saya, dari segi genre open world, permainan dari Rockstar memang terbaik. Lebih-lebih lagi Read Dead Redemption 2. Permainan terbaru mereka ini meletakkan ‘benchmark’ yang sangat tinggi dalam genre permainan tersebut.
Malah, tidak hairanlah ramai juga yang menantikan GTA 6 yang sehingga kini, belum nampak bayangnya lagi.
Sumber: Game Informer
Foto utama: gamesradar
Baca juga: