Di MWC 2025 Barcelona, Xiaomi telah memperkenalkan Xiaomi Modular Optical System, sebuah konsep baharu yang membolehkan telefon pintar menggunakan lensa tambahan dengan magnetic pogo pin. Prototaip Xiaomi 15 ini membolehkan pengguna memasang lensa M4/3 (Micro Four Thirds) dengan panjang fokal 35mm f/1.4, yang jauh lebih besar daripada sensor 1 inci yang digunakan pada telefon pintar andalan seperti Xiaomi 15 Ultra.
Namun, Xiaomi mengakui konsep ini masih belum bersedia untuk pasaran kerana dua faktor utama:
- Kos pembangunan yang tinggi, menjadikannya sukar dijual pada harga munasabah.
- Pogo pin boleh menjejaskan ketahanan air telefon, walaupun ini boleh diperbaiki dengan teknologi masa depan.
Bukan Xiaomi sahaja yang mengejar inovasi ini. realme juga memperkenalkan Konsep Lensa Boleh Tukar, membolehkan pengguna memasang lensa DSLR terus pada telefon pintar mereka, lengkap dengan sensor Sony 1 inci dan lensa 73mm (potret) serta 234mm (telefoto).
Adakah Kita Perlukan Telefon dengan Lensa Modular?
Jika melihat sejarah, konsep ini bukanlah sesuatu yang baharu. Sony QX1 (2014) pernah mencuba idea kamera modular dan Samsung Galaxy S4 Zoom pernah memfokuskan zum kamera, tetapi kurang mendapat sambutan. Mungkin kerana teknologi pada waktu itu masih belum matang, atau pengguna tidak melihat keperluannya.
Secara peribadi yang memang meminati fotografi, saya berpendapat bahawa telefon pintar tidak memerlukan lensa boleh tukar.
Fotografi mudah alih wujud kerana kemudahan dan kepantasan – sesuatu yang sukar dicapai jika kita perlu membawa lensa tambahan ke mana-mana. Pantas di sini bermaksud ‘point and shoot’.
Saya ambil contoh telefon andalan seperti OPPO Find X8, HONOR Magic7 Pro, vivo X200 Pro, Samsung Galaxy S25 Ultra yang mempunyai kemampuan zum telefoto yang baik. Tidak perlu membawa beban lensa ke mana-mana.
Jika seseorang sanggup melabur dalam lensa berkualiti tinggi, bukankah lebih baik mereka terus membeli “kamera sebenar”?
Bukanlah saya mempertikaikan kemampuan fotografi pada telefon pintar, saya sendiri memuji hasil gambar daripada vivo X200 Pro dan Xiaomi 15 Ultra.
Namun, lensa boleh tukar pada telefon pintar saya lihat ia bukanlah sesuatu yang diperlukan kebanyakan pengguna. Ia inovasi tetapi bukan inovasi yang diminta.

Contohnya kamera yang saya gunakan, Ricoh GR IIIx dengan sensor APS-C yang lebih besar, saiz lebih kecil daripada iPhone 15 Pro, dan output gambar yang sangat menakjubkan. Walaupun panjang fokalnya tidak boleh ubah, ia sudah memadai.
Sepanjang saya dalam komuniti ini pun, rata-rata otai fotografer selesa dengan kamera tersebut. Mereka mengatakan, ‘pocketable camera’ mengubah cara anda mengambil gambar. Tekan ‘on’ dan snap.
Saya bagi anda situasi, adakah anda sanggup membawa lensa kamera ketika anda pergi melancong ke luar negara untuk mengambil detik-detik indah di sana? Pasti ramai yang selesa guna kamera telefon sahaja bukan? Kenapa? Sebab mudah.
Bukankah itu juga yang dipasarkan Xiaomi dengan Leica, vivo ZEISS, OPPO Hasselblad, HUAWEI XMAGE?
“Leica dalam poket, harga mampu milik”, “semua boleh guna ZEISS”, “warna Hasselblad dalam telefon pintar”.
Sebaliknya, saya melihat masa depan fotografi mudah alih buat masa ini terletak pada sensor 1 inci, pemprosesan imej yang boleh dibantu dengan cip khusus untuk kamera dan juga AI, serta sistem warna yang lebih baik – bukannya menambah kompleksiti dengan lensa boleh tukar.
Telefon pintar adalah tentang kemudahan, sama seperti DJI Osmo Pocket 3, yang popular kerana saiz kompak dan sensor 1 inci dengan gimbal terbina.
Pada akhirnya, persoalan utama adalah: Adakah pengguna biasa benar-benar mahukan telefon dengan lensa modular?
Atau adakah ini hanya satu lagi inovasi yang menarik perhatian tetapi sukar diterima dalam penggunaan harian?
Mungkin saya boleh berubah fikiran sekiranya lensa yang dijual itu mampu milik tetapi saya rasa ia amatlah mustahil.
Apa pula pandangan anda? Saya terbuka sekiranya anda tidak bersetuju dengan saya.
{suggest}