Telefon Boleh Lipat Xiaomi Dilapor Akan Dijual Pada Harga Lebih Murah Berbanding Galaxy Fold Dan Mate X

Prototaip melibatkan peranti dengan skrin boleh lipat sudah dipertontonkan sejak beberapa tahun lalu. Seperti yang sedia maklum, dua gergasi pengeluar, Huawei dan Samsung telah melancarkannya pada bulan lalu.

Pengeluar lain juga turut dikhabarkan akan mengikut jejak langkah kedua-dua syarikat ini dan salah satunya adalah Xiaomi.

Tidak dapat disangkal lagi peranti boleh lipat keluaran Huawei dan Samsung merupakan antara model yang tampil dengan rekaan menarik bersama spesifikasi berkuasa tinggi, tetapi harga jualan yang agak premium; Galaxy Fold $1980 (~RM8071), Mate X €2299(~RM10,631), mungkin mampu menarik balik hajat sebahagian peminat untuk memilikinya.

Berbeza dengan Xiaomi, peranti boleh lipat mereka dilapor akan dijual pada harga $999 (~RM 4072) seperti yang digarap dari laporan iGyaan.

https://www.youtube.com/watch?v=oxQrFmQ-Txk

Ia dikatakan akan menggunakan paparan OLED yang dihasilkan oleh Visionox Technology dan disebabkan itu perbezaan ketara dari segi harga dapat dilihat. Sementara Galaxy Fold dan Mate X pula dilengkapi dengan paparan dari Samsung dan BOE.

Dirujuk dengan nama Mi Fold dan Mi Flex, laporan turut menyatakan syarikat merancang untuk melancarkannya pada suku kedua tahun ini iaitu diantara penghujung April atau awal Jun.

Xiaomi memang cukup terkenal dengan penawaran peranti berspesfikasi baik pada harga yang kompetitif, tetapi bagi segmen boleh lipat, adakah ia mampu memberikan prestasi terbaik setara dengan dua lagi pesaingnya itu?

Sumber: iGyaan