Tahukah Anda Telefon Pertama Dengan Skrin Paparan Berwarna?

Teknologi skrin telefon pintar jauh berbeza dengan dahulu. Sekarang ini sudah ada teknologi AMOLED, kadar segar semula yang tinggi, dan pelbagai perkara hebat lagi.

Namun tahukah anda siapa pemula revolusi skrin telefon ini? Model telefon manakah yang hadir dengan skrin berwarna buat kali pertamanya dalam industri?

Telefon Pertama Dengan Paparan Warna


Sebelum kewujudan skrin berwarna, telefon hanya mempunyai paparan monokrom, iaitu satu warna sahaja, hitam dan warna lain contohnya seperti biru.

Kapsyen: Nokia 8250 dengan paparan LED biru. Juga popular dengan nama Nokia Butterfly.


Sehinggalah pada tahun 1998, Siemens memperkenalkan Siemens S10, telefon pertama dengan skrin berwarna.

Pada ketika itu ia hanya mampu mengeluarkan 4 warna sahaja - merah, hijau, biru, dan putih, bukannya berwarna penuh.

{suggest}

Walaupun hanya sekadar 4 warna, pasaran telefon ketika itu dipenuhi dengan paparan monokrom, jadi ia sesuatu yang baharu dan boleh dikatakan sebuah revolusi.

Kapsyen: Siemens S10


Akan tetapi, Siemens S10 sebenarnya gagal menarik minat pengguna pasaran disebabkan ia kurang lengkap dari segi pakej.

Telefon ini diposisikan sebagai telefon kelas premium yang mahal namun hanya menawarkan sekadar paparan warnanya sebagai ciri utama dan tidak lebih dari itu.

Saiz fizikalnya juga adalah lebih besar serta lebih berat berbanding pesaing utama seperti Nokia dan juga Ericsson membuatkan pembelian Siemens S10 agak janggal.

Kapsyen: Siemens S10 dengan paparan 4 warna sahaja


Dengan hanya skrin berwarna sebagai tarikan utama, pada ketika itu ia tidak lebih dari sekadar gimik, ditambah lagi dengan harga yang lebih mahal berbanding pesaing.

Siemens S10 memerlukan lebih dari sekadar paparan berwarna untuk dijual pada harga yang premium. Walaupun sesuatu yang baharu, ia gagal kerana tidak mengubah cara pengguna menggunakan telefon pada ketika itu.

Telefon Paparan Warna Dengan Grafik Penuh


Selepas Siemens S10, pengeluar mula meneroka idea telefon dengan skrin berwarna namun membawanya kepada tahap yang lebih tinggi.

Antara model popular dengan idea ini adalah Ericsson T68m dan Mitsubishi Trium Eclipse, yang mempunyai paparan 256 warna penuh yang diperkenalkan pada tahun 2001.

Kapsyen: Mitsubishi Trium Eclipse


Kapsyen: Ericsson T68m


Ia jauh lebih hebat dari Siemens S10 kerana bukan lagi gimik yang hanya sekadar paparan berwarna sahaja.

Dengan paparan 256 warna itu, telefon boleh mempamerkan gambar berwarna, sesuatu yang baharu dan unik pada ketika itu.

Ericsson T68m merupakan model yang popular sebagai antara telefon pertama dengan paparan berwarna berbanding dengan model-model lain.

Pada tahun 2002, Ericsson T68m telah menerima naik taraf perisian yang membolehkannya menghantar gambar kepada pengguna lain menggunakan protokol Multimedia Messaging Service atau MMS.

Kapsyen: Protokol MMS yang membolehkan pengguna menghantar gambar


Melalui MMS, ia memberi petunjuk kepada pembangunan teknologi kamera telefon yang lebih hebat lagi supaya gambar lebih berkualiti boleh diambil oleh pengguna.

Perbezaan Ericsson T68m dengan Siemens S10 memang jelas dari segi kemajuan teknologi paparan, namun apa yang lebih utama adalah bagaimana sesuatu pengeluar mampu mengubah cara bagaimana pengguna menggunakan telefon berbanding hanya sekadar memuatkan spesifikasi kosong sahaja.

Sumber: Mobilephonehistory.co.uk, Phonearena, Blog.net10.com, Tigermobiles