Spesifikasi Galaxy S10 Lite Mula Didedahkan - Pasaran Malaysia Bakal Guna Cip Snapdragon 855?

Dalam beberapa hari lagi, dikatakan Galaxy S10 Lite dan Galaxy Note 10 Lite (dua model berbeza) bakal dilancarkan di Eropah. Imej Note 10 Lite telah mula dimuatnaik, namun untuk S10 Lite belum ada lagi imej berkenaan peranti berkenaan. Tetapi tidak mengapa kerana spesifikasi utama peranti ini telah mula dilondehkan.

Menurut WinFuture, S10 Lite akan hadir dengan 6.7 inci FHD+ (2400 x 1080p) Super AMOLED dalam nisbah 19.5:9. Kamera swafoto pula diletakkan dalam skrin berlubang bahagian atas yang memuatkan 32MP (f/2.2).

Untuk kamera belakang pula, nampaknya Samsung meletakkan kamera lebih banyak daripada Galaxy S10e. Jika S10e mempunyai 2 kamera, S10 Lite punyai 3. Kamera utamanya adalah 48MP (f/2.2) dengan pengstabilan imej optikal. Namun, Samsung akan menggunakan teknologi OIS baharu dikenali tilt-OIS. Dari segi komersial, ia akan dipasarkan sebagai tOIS.

Beza dengan OIS biasa,tilt-OIS boleh mencondongkan perkakas OIS itu sendiri sebagai pergerakan tambahan selain daripada pergerakan OIS tradisional.

Kapsyen: Gambaran kasar bagaimana tilt OIS berfungsi. (Bukan imej sebenar untuk tOIS).


Terdapat kamera ultralebar 12MP (f/2.2) dan juga kamera makro 5MP (f/2.4) sebagai lensa tambahan selain lensa utama.

Menariknya mengenai spesifikasi peranti ini adalah ia menggunakan Snapdragon 855. Kesemua model. Bukan pasaran US sahaja. Ini adalah kerana Samsung tidak mahu menggunakan cip Exynos mereka untuk model baharu ini.

Untuk RAM, terdapat 8GB dengan padanan storan dalaman 128GB. Terdapat juga sokongan mikroSD sehingga 1TB untuk storan tambahan. Peranti juga akan menjalankan One UI 2.0 di sebalik Android 10 sebagai sistem perisian.

S10 Lite akan dimuatkan dengan bateri 4,500mAh serta menyokong pengecasan pantas Super Fast Charging 2.0 sehingga 45W melalui USB-C.

Mengenai harga jualannya di Eropah, ia akan berharga EUR 679.99 (~RM3,129). Dari segi posisi peranti dalam siri S10, penamaan Lite membuatkannya diletakkan di bawah S10e. Namun boleh juga mahu katannya sebagai model penyegar (refresh) untuk menggantikan S10e, disebabkan penambahan kamera dan bateri lebih besar.

Untuk cip Snapdragon 855 itu, disebabkan Samsung tidak memasarkan cip Exynos dalam S10 Lite ini, pasaran Malaysia secara tidak langsung akan terima cip Snapdragon juga. Apa-apa pun, menurut sumber, kedua-dua peranti S10 Lite dan Note 10 Lite akan dilancarkan dalam beberapa hari sahaja lagi.

Sumber: WinFuture

Berkaitan