Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah berjaya membangunkan sistem pengurusan rondaan keselamatan pintar dikenali sebagai GuardExpert Pro (GEP) yang menggabungkan teknologi Internet Kebendaan (IoT), Kecerdasan Buatan (AI) dan komunikasi digital.
Sistem ini yang dibangunkan oleh Dr. Mohd Adib Sarijari, Pensyarah Kanan Fakulti Kejuruteraan Elektrik, UTM bersama sepasukan penyelidik telah pun memulakan usaha membangunkan GuardExpert Pro pada tahun 2017 dahulu.
Inovasi ini lahir daripada cabaran rondaan konvensional yang bergantung pada laporan manual, walkie-talkie, dan buku log, yang sering menimbulkan kelewatan maklumat serta risiko operasi.

Tidak terhad kepada menghasilkan satu lagi aplikasi digital, Dr. Mohd Adib Sarijari bersama pasukan penyelidik sebaliknya membangunkan satu ekosistem pengurusan rondaan keselamatan yang mampu membantu organisasi memantau operasi secara lebih bersistematik, meningkatkan keselamatan anggota di lapangan dan mempercepat penyampaian maklumat apabila berlaku sesuatu insiden.
“Melalui GEP, setiap anggota keselamatan memulakan rondaan dengan membawa sebuah peranti yang berfungsi sebagai alat kawalan peribadi sepanjang syif mereka. Daripada pendaftaran kehadiran sehingga selesai rondaan, semua aktiviti direkodkan secara digital tanpa perlu bergantung kepada buku log atau catatan manual,”
Antara ciri utama GEP ialah rekod rondaan automatik melalui teknologi NFC, butang kecemasan dengan lokasi GPS, serta integrasi dron untuk pemantauan kawasan sukar dicapai.
Sistem ini diuji setiap hari di kampus UTM sebagai “living lab”, membolehkan penambahbaikan berterusan sebelum dikomersialkan.
Kini, GEP sudah digunakan oleh pasukan keselamatan UTM dalam pengurusan rondaan harian di kampus.
Malah, GEP berjaya dikomersialkan dengan hak pengkomersialan GEP disalurkan kepada Significs Technologies Sdn. Bhd., sebuah syarikat terbitan (spin-off) UTM yang bertanggungjawab membawa hasil penyelidikan universiti ke pasaran.
Hasilnya, GuardExpert Pro telah digunakan dalam operasi rondaan di Terminal Tanjung Langsat Port bagi membantu memperkukuh pemantauan keselamatan serta meningkatkan kecekapan penyampaian maklumat di lapangan.

Malah kejayaan GEP ini membuka jalan ke skala nasional apabila ia turut mendapat perhatian Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) di mana KPM mula mengintegrasikan sistem digital GEP dalam Perkhidmatan Kawalan Keselamatan (PKK) sejak Oktober 2025.
Kini, sudah lebih 1,000 sekolah di seluruh negara, termasuk di kawasan pedalaman Sabah, telah pun menggunakan sistem GEP ini bagi menyokong pengurusan rondaan keselamatan, melindungi harta benda kerajaan serta membantu dalam menjaga keselamatan warga sekolah.
Dari kampus ke industri, inovasi ini sekali gus menonjolkan peranan institusi pengajian tinggi di Malaysia dalam menghubungkan ilmu, teknologi, dan mengaplikasikannya dalam dunia sebenar.
{suggest}
