Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah menemui sumber air bawah tanah yang dinamakan Nadi Bumi di dalam kampus Johor Bahru.
Penemuan sumber air di dalam kawasan Hutan Rekreasi UTM ini membolehkan pembinaan telaga akuifer batuan yang mampu menghasilkan sehingga sejuta liter air bersih setiap hari.
Projek ini menjadikan UTM universiti pertama di Malaysia yang membangunkan sistem akuifer di kampus sendiri.
Projek ini diterajui oleh pasukan penyelidik transdisiplin dari UTM, Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) serta rakan industri dan telah mendapat kelulusan rasmi daripada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor.
Kerja penggalian yang bermula pada tahun 2021 dahulu mengambil masa antara 5 hingga 6 bulan .
Kajian dilakukan dengan gabungan kepakaran geologi, geofizik, hidrogeologi dan geomatik, sehingga sumber airnya berjaya ditemukan pada kedalaman 158 meter dalam batuan gabbro.

Air hujan yang asalnya bersifat asid meresap melalui batuan gabbro bertukar menjadi beralkali serta kaya dengan mineral seperti magnesium, kalsium, natrium dan kalium.
Namun rawatan ke atas air ini tetap dilakukan bagi memastikan keselamatan, khususnya mengurangkan kandungan besi.
Dengan kos pembangunan sekitar RM200,000 sahaja, akuifer ini mampu menampung keperluan harian lebih 7,000 warga kampus, malah berpotensi menyokong sehingga 100,000 orang untuk kegunaan minum dan memasak.
Kejayaan ini terbukti penting apabila berlakunya krisis air akibat pencemaran Sungai Johor, apabila telaga menjadi sumber alternatif bagi pelajar dan staf.

UTM menyifatkan, kejayaan ini sebagai sesuatu yang amat luar biasa kerana kebarangkalian menemui akuifer dalam batuan keras di kawasan berbukit adalah sangat rendah.
UTM melihat projek ini sebagai model translasi penyelidikan yang memberi impak langsung kepada masyarakat, sekali gus menyumbang kepada keselamatan sumber air negara.
{suggest}
