Siri Black Shark yang merupakan antara telefon gaming mampu milik kini tampil dengan penawaran baharu – Black Shark 4s dan Black Shark 4s Pro.
Kali ini mereka hadir dengan rekaan panel belakang yang diberi nafas baharu dan terdapat juga edisi khas Gundam.
Kedua-duanya mempunyai spesifikasi hampir sama. Dilengkapi skrin 6.67 inci E4 AMOLED beresolusi FHD+ dan mempunyai sokongan kadar segar semula 144Hz dan input sentuh 720Hz.
Bagi memberikan pengalaman bermain lebih baik, butang pada bahagian sisinya menerima peningkatan yang mana lebih lancar untuk digunakan berbanding sebelum ini.
Selain itu, sistem penyejukan “sandwic” juga menambah baik peleraian haba dan ia juga hadir dengan 11 sensor suhu bagi memudahkan pemantauan suhu ketika bermain permainan.
Di dalam peranti, Black Shark 4s dikuasakan cip Snapdragon 870 yang dipadankan memori LPDDR5 dan storan UFS 3.1. Sementara varian Pro, ia dijana Snapdragon 888+, memori LPDDR5 serta storan dalam UFS 3.1 dengan tetapan teknologi NVMe SSD bagi meningkatkan kelajuan membaca (read) dan menulis (write).
Manakala bekalan kuasa bateri adalah sebesar 4500mAh bersama kelajuan mengecas sehingga 120W.
Melihat pada belakang peranti, masing-masing mempunyai 8MP ultra lebar dan 2MP depth. Sementara 4s Pro hadir dengan lensa utama 64MP berbanding 4s standard hanya 48MP. Namun, kedua-duanya juga masih menerima lensa swafoto sama, iaitu 20MP.
Walaupun Black Shark 4s kurang berkuasa berbanding 4s Pro, ia ditawarkan dengan versi edisi khas Gundam. Edisi ini tampil dengan panel belakang berwarna putih dan biru.
Harga jualan rasmi adalah bermula 2699 yuan (~RM1742) bagi Black Shark 4s. Sementara varian Pro bermula 4799 yuan (~RM3097) dan edisi khas Gundam pula berharga 3499 yuan (~RM2258).
Sumber: Black Shark weibo
Baca juga:
-
Nothing ear (1) Tiba Buat Pasaran Tempatan Dengan Harga RM499
-
Telefon Gaming Terbaru ROG Phone 5s Selamat “Mendarat” Di Malaysia