Dalam mana-mana kamera digital, sensor adalah merupakan komponen yang paling penting. Tanpanya, kita tidak boleh menangkap gambar.
Berbanding jumlah megapixel, ramai yang sebenarnya bersetuju bahawa saiz sensor turut memainkan peranan penting dalam penghasilan imej yang baik.
Apa itu sensor dalam sebuah kamera? Sensor adalah merupakan komponen yang menerima cahaya melalui lensa dan menukarkannya menjadi imej digital.
Permukaan sensor mempunyai jutaan pixel yang berfungsi untuk menangkap cahaya. Jumlah jutaan pixel inilah dijadikan elemen yang dikenali sebagai megapixel.
Untuk makluman, secara lazimnya sensor pada telefon pintar tidak boleh melihat warna. Namun kamera boleh mengecam warna melalui penuras warna yang diletakkan di hadapan sensor.
Sensor memainkan peranan penting dalam menentukan saiz dan juga kualiti gambar. Sensor bersaiz besar bermaksud ia mempunyai tangkapan cahaya lebih banyak dan kebiasannya ia akan diterjemahkan kepada gambar yang lebih baik.
Ini adalah mengapa kamera DSLR atau mirrorless mempunyai kualiti gambar yang lebih baik dan berbeza berbanding telefon pintar kerana sensor pada kamera digital itu jauh lebih besar.
Sebagai perbandingan ini adalah perbandingan saiz sensor antara sebuah kamera full frame dan juga sensor dari kebanyakan telefon pintar.
Ini pula adalah rata-rata saiz sensor kamera utama dalam telefon pintar terkini:
- Google Pixel 5 (1/2.55″)
- iPhone 12 Pro Max (1/1.7″)
- Samsung Galaxy S21 Ultra (1/1.33″)
- Huawei Mate 40 Pro (1/1.28″)
- Xiaomi Mi 10 Ultra (1/1.32″)
- OnePlus 8 Pro (1/1.43″)
Tahukah anda kebanyakan sensor telefon pintar yang digunakan sekarang adalah lebih besar dari Nokia Lumia 1020, salah satu legenda kamera yang menggunakan sensor 41MP bersaiz 1/1.5″.
Namun, dalam sejarah telefon pintar, ada yang lagi yang dimuatkan dengan sensor lebih besar dari itu.
Ini adalah Nokia 808 PureView, juga sebuah telefon legenda yang menjadi inspirasi kepada Lumia 1020. Ia hadir dengan sensor bersaiz 1/1.2″ dengan jumlah 41MP pada tahun 2012.
Digabungkan dengan komponen optik dari Carl Zeiss dan juga cahaya Xenon, ia adalah antara legenda kamera yang sukar untuk ditumpaskan pada zamannya.
Dari segi rekaan, bonggol kameranya agak tebal dan terbonjol keluar semata-mata demi memuatkan teknologi kamera berkuasanya itu.
Namun, Nokia 808 Pureview sebagai sebuah telefon kurang menerima sambutan kerana sistem perisian dinasour SymbianOS pada zamannya. Ia kekurangan aplikasi dan secara keseluruhannya kurang mesra tidak seperti Android.
Untuk makluman anda Nokia 808 Pureview adalah merupakan telefon terakhir yang didatangkan dengan sistem SymbianOS.
Tetapi itu belum cukup besar. Memperkenalkan telefon nombor satu sebagai pemegang sensor paling besar dalam sejarah telefon pintar, Panasonic Lumix CM1.
Ia hadir dengan sensor bersaiz 1 inci (1″) yang juga menyamai saiz sensor seperti kamera kompak Canon G5 X Mark II dan Sony RX100 VII.
Diperkenalkan pada tahun 2014, sensor 1″ itu hadir dengan 20MP, dipadankan dengan lensa Leica, dan juga kawalan kamera menyeluruh lengkap dengan butang fizikal untuk pengalaman menangkap gambar sama seperti kamera kompak.
Dengan saiz sensor besar yang sangat sensitif dengan cahaya itu, ia membenarkan ISO setinggi 25,600. Lebih tinggi dari purata kebanyakan telefon pintar sekarang yang ISO rata-ratanya tidak mampu mencapai 10,000 pun.
Tetapi sambutan Panasonic Lumix CM1 agak rendah berikutan harga yang agak tinggi lebih dari RM4000 dan lebih merupakan hibrid kamera dan telefon berbanding telefon biasa. Sedangkan telefon andalan seperti iPhone 6, Galaxy Note 4, dan Google Nexus 6 dijual lebih murah daripadanya.
Masa Hadapan Saiz Sensor Telefon Pintar
Adakah pembangunan saiz sensor dalam kamera tidak akan mampu mencapai kembali saiz besar seperti pada CM1 ini?
Jawapannya tidak. Baru-baru ini, kita telah mendengar ura-ura bahawa Sony kini sedang membangunkan sensor IMX800 yang juga bersaiz 1 inci (1″) untuk telefon pintar tidak lama lagi. Dikatakan sensor ini bakal digunakan siri Huawei P50 pada tahun ini juga.
April: world first 1" mobile camera sensor IMX800 pic.twitter.com/t88Qqmancn
— Teme (特米)? (@RODENT950) February 24, 2021
Jika ura-ura ini menjadi kenyataan, Huawei P50 boleh diletakkan sebaris dengan Panasonic Lumix CM1 sebagai telefon dengan sensor paling besar dalam sejarah.
Perlu diingatkan walaupun sensor memainkan peranan utama dalam kualiti gambar, pasca pemprosesan dan juga perisian turut memberi kesan untuk pengalaman penggunaan kamera yang lebih memuaskan.
Apa-apa pun, agak menarik untuk melihat saiz sensor yang besar ini kembali semula pada tahun ini setelah 7 tahun tidak melihatnya.
Rujukan:
- The Smartphone Photographer: Pengenalan Ringkas
- Rodent950: Sony IMX800
- DPreview: Ulasan Panasonic Lumix DMC-CM1
- DPreview: Ulasan Nokia 808 Pureview