Artikel ini akan berkongsi pelan prabayar yang hadir dengan internet “tanpa had” disediakan di Malaysia dengan bajet bawah RM50.
Kenapa saya guna tanda petik untuk frasa ‘tanpa had’? Tuan-tuan juga pasti sudah tahu. Ya, kerana walaupun diiklankan sebagai tanpa had, tapi sebenarnya ada batasan kuota ditetapkan.
Sampai saja kuota ditetapkan, kelajuannya akan diperlahankan seolah-olah pelanggan menggunakan pelan tersebut secara percuma.
Terma digunakan syarikat telekomunikasi untuk had ini ialah FUP iaitu fair usage policy. Tapi tak mengapa, kita selidik pelan-pelan tersedia dan beza FUP antara mereka.
{snap}
U Mobile
U25 berharga RM25 sebulan untuk FUP sebanyak 30GB untuk kelajuan 3Mbps, panggilan tempatan tanpa had tanpa kuota khas untuk hotspot.
U35 berharga RM35 pula hadir dengan FUP sebanyak 100GB untuk kelajuan 6Mbps, panggilan tempatan tanpa had dan kuota hotspot 3GB.
Selepas mencapai FUP, kelajuan ditetapkan ialah 512kbps.
Jangan terpedaya dengan Speed Booster. Bunyinya semacam menggiurkan tetapi penggunaannya masih ditolak daripada kouta FUP.
Speed Booster membenarkan anda mendapatkan kelajuan maksimum melebihi 3Mbps (U25)/6Mbps (U35) namun berdasarkan kekuatan isyarat dan lokasi anda. Malah, anda perlu menebus sendiri di aplikasi, bukan diberi secara automatik.
{snap}
Digi
Digi NEXT Unlimited 40 menawarkan FUP sehingga 300GB sebulan, kelajuan maksimum 6Mbps panggilan domestik tanpa had.
Ada sedikit helah di mana jika anda langgannya untuk auto-renew, barulah anda ada mendapat kuota hostpot 10GB. Jika anda langgan jenis one-time, tiada kuota hotspot diberikan.
‘Auto renewal’ bermakna tamat saja tempoh sebulan, Digi akan tolak baki kredit anda secara automatik untuk langgan pakej sama. Hal ini tidak terjadi pada langganan jenis one-time.
Sebenarnya, untuk sesetengah pelanggan, mereka akan dapati pelan Unlimited Internet (3Mbps) RM35 dan NEXT Unlimited 55 di aplikasi MyDigi yang juga menawarkan internet tanpa had.
Pakej Unlimited Internet 35 auto-renew (bukan NEXT 35) mempunyai kelajuan 3Mbps dengan kuota hotspot 3GB. NEXT 55 pula berkelajuan 10Mbps bersama kuota hotspot 10GB (auto-renew).
Di aplikasi MyDigi, ia dinamakan “Unlimited Internet (3Mbps)+3Gbps Hotspot+UL Calls”. Walaupun harganya sama RM35, jangan keliru dengan NEXT 35 kerana NEXT 35 berkuota 30GB.
Kesemua pelan internet tanpa had Digi hadir dengan FUP sebesar 300GB. Secara peribadi, ia mencukupi untuk penggunaan sebulan saya dan terbesar antara ‘telko’ tempatan.
{snap}
Celcom
Untuk RM38/bulan, anda akan mendapat had FUP sebanyak 60GB dengan kelajuan 3Mbps, panggilan percuma serta hotspot sebanyak 3GB.
Selain itu, anda juga akan boleh menebus 5GB yang kelajuannya tidak dihadkan pada 3Mbps.
Bagi pelan RM45, FUP 60GB turut dikenakan tetapi kelajuannya 6Mbps dan hotspot padanya pula 6GB. Panggilan percuma bersama 5GB high-speed masih disertakan.
{snap}
Yes
Dengan RM30 sebulan, anda mendapat internet tanpa had 4G dan 5G, panggilan domestik tanpa had, dan hotspot sebanyak 9GB. Menariknya, pegawai khidmat pelanggan Yes memberitahu bahawa pelan ini tidak mempunyai FUP.
Untuk 4G, kelajuan maksimumnya ialah 7Mbps, tertinggi antara pelan prabayar ditawarkan syarikat telekomunikasi lain. Rangkaian 5G pula tiada had maksimum kelajuan ditetapkan.
Tetapi untuk 5G, bukan hanya kawasan tapi juga anda harus pastikan peranti anda menyokongnya melalui pautan INI. Setakat ini, iPhone tidak sokong 5G di bawah Yes.
Walaupun bunyinya sangat berbaloi namun liputan Yes sangat terhad di seluruh negara.
Bukan itu saja, pengguna iPhone juga perlu bahawa rangkaian Yes ada tidak menyokong iMessage dan FaceTime.
{snap}
Yoodo
Antara keistimewaan Yoodo ialah kebolehan pengguna menyelaraskan harga pelan bulanan mengikut penggunaan mereka sendiri.
Contohnya, untuk kelajuan 3Mbps dengan hotspot 10GB dan 100 minit panggilan, anda hanya perlu bayar RM50. Jika anda kurangkan kuota hotspot, anda boleh dapat lebih murah lagi.
Untuk kelajuan 6Mbps dengan hotspot 6GB dan 100 minit panggilan, anda hanya perlu bayar RM43. Jika anda kurangkan mana-mana bahagian, harganya akan lebih rendah.
Disebabkan ia fleksibel, maka lebih baik anda cuba selaraskan sendiri berdasarkan penggunaan sendiri. Pun begitu, anda perlu bersedia apabila Yoodo dimiliki pemilik baharu kelak disebabkan penggabungan Celcom dan Digi.
{snap}
TuneTalk
Dua pelan di bawah RM50 tersedia ialah Fokus 33 (RM38) yang hadir dengan FUP 50GB. Satu lagi ialah Fokus 40 (RM48) dengan FUP 60GB.
Fokus 33 tawarkan internet tanpa had berkelajuan 6Mbps, panggilan percuma dan hotspot sebanyak 4GB. Namun, kelajuan 6Mbps hanya tersedia dari 9 pagi ke 4:59 petang. Selain waktu itu, kelajuannya ialah 3Mbps.
Fokus 40 pula berkelajuan 12Mbps, panggilan percuma dan hotspot sebanyak 6GB. Kelajuan 12Mbps tersedia mulai 9 pagi ke 4:59 petang saja, di luar waktu itu, hanya 6Mbps.
Jika anda ada bajet lebih, Bebas 55 (RM68) tawar internet berkelajuan 18Mbps dengan hotspot tanpa kuota. Namun, FUP-nya ialah 80GB dan melibatkan penggunaan hotspot.
Untuk makluman, TuneTalk menggunakan rangkaian daripada Celcom. Secara peribadi, saya tidak gemar dengan tawaran TuneTalk ini kerana terlalu banyak syarat ‘pelik’. Sebelum ini, ia mempunyai FUP harian.
Semak liputan TuneTalk (Celcom)
{snap}
Hotlink
Untuk RM40, anda diberikan internet berkelajuan 3Mbps, panggilan domestik tanpa had, hotspot tanpa had dan internet laju 2 pagi – 2 petang.
Untuk RM50, anda diberikan internet berkelajuan 6Mbps, panggilan domestik tanpa had, hotspot tanpa had dan internet laju 2 pagi – 2 petang.
Namun, FUP ditetapkan hanyalah 50GB. Capai saja FUP, kelajuannya terhad 512kbps. Diingatkan, hotpsot anda juga akan ditolak daripada kuota FUP.