Industri animasi Malaysia sememangnya antara satu hal yang sepatutnya kita bangga-banggakan dan diangkat lebih tinggi. Bahkan, saya sendiri berpendapat jalan cerita dalam kartun animasi kita jauh sangat lebih bagus daripada kebanyakan filem ‘real life’.
Bercakap tentang animasi tempatan, selepas kejayaan Upin Ipin menembusi pasaran antarabangsa, siri animasi seperti Ejen Ali, BoBoiBoy dan Mechamato daripada studio produksi tempatan yang lain pula juga mendapat sambutan yang sangat hangat sama ada dalam kalangan penonton Malaysia mahupun antarabangsa.
Kini, sebuah lagi animasi tempatan berjudul ILM:Kebangkitan Khalifah terbitan syarikat Durioo Sdn. Bhd. telah mula dipertonton secara percuma di YouTube mereka. Klik SINI untuk tonton.
Sinopsis ILM: Kebangkitan Khalifah
Ia mengisahkan tentang dua pemuda iaitu Farooq dan Siddiq yang hidup pada tahun 4030 di mana dunia ketika itu sedang diperintah oleh kerajaan Zaleem selepas peperangan besar.
Ketika perang beberapa dekad sebelum itu, tentera Zaleem telah menghapuskan ilmu berkaitan Islam yang berada dalam bentuk fizikal mahupun digital. Namun, sekumpulan ilmuwan Islam telah memindahkan ilmu-ilmu tentang Islam dalam sebuah kodeks yang diberi nama ILM dengan harapan ia akan dikumpulkan semula pada masa hadapan dan membantu mengembalikan kegemilangan empayar kerajaan Islam.
Jadi, sisi Farooq dan Siddiq adalah untuk mengumpulkan semua kodeks ILM yang mengandungi ilmu-ilmu berkaitan Islam dengan tujuan utama mengembalikan keamanan dunia dan menewaskan Zaleem.
Apa yang unik tentang ILM
Menariknya, siri animasi ILM yang bertemakan sains fiksyen (sci-fi) ini berbeza daripada animasi sedia ada kerana ia menerapkan sejarah Islam dan nilai Islamik dalamnya. Salah satunya ialah penggunaan kalimah-kalimah suci seperti “Alhamdulillah”, “insya-Allah” dan lain-lain.
Bukan itu sahaja, malah ilmu-ilmu sejarah Islam seperti maklumat tentang Saidina Abu Bakar turut dikongsikan secara langsung. Kemudian, babak seperti ‘usrah’ secara kecil-kecilan juga turut dipaparkan, mengambil inspirasi daripada kisah Nabi Muhammad SAW yang berdakwah secara sembunyi-sembunyi.
Ini agak berbeza daripada animasi-animasi gergasi sebelum ini seperti Upin Ipin yang menumpukan terhadap persekitaran kehidupan kanak-kanak di kampung mahupun BoBoiBoy dan Mechamato dengan tema adiwira dengan kuasa istimewa.
ILM: Kebangkitan Khalifah boleh ditonton di aplikasi Durioo+ dan saluran YouTube rasmi Durioo+ Malaysia di SINI.
Bahagian 2 iaitu Episod 7 dan seterusnya pula akan ditayangkan di aplikasi Durioo+ mulai 2 November 2024.
Sumber: Durioo+ Malaysia
{suggest}