WhatsApp yang dimiliki Meta sudah pun mengalami beberapa naik taraf dengan pengenalan pelbagai ciri baru yang menyenangkan lagi penggunaannya.
Jadi untuk sepanjang tahun 2022 ini pula, Meta telah mempunyai rancangan untuk menambah baik ciri sedia anda dan menambah ciri-ciri baru pada aplikasi WhatsApp.
Berikut adalah 11 ciri baharu yang sudah dan akan dimuatkan dalam WhatsApp untuk tahun 2022 ini:
1. Communities
Communities merupakan sebuah ciri baharu yang membolehkan beberapa kumpulan WhatsApp dikumpulkan di bawah satu payung.
Pentadbir (admin) juga boleh menghantar mesej pada ahli kumpulan berbeza dengan mudah dan sekaligus.
WhatsApp memberi contoh situasi manfaat Communities yang akan memudahkan guru besar sekolah menyatukan kesemua ibu bapa di sekolah untuk berkongsi kemas kini penting dan membuat kumpulan berkenaan kelas, aktiviti ekstrakurikulum, atau keperluan sukarela tertentu.
2. Emoji reactions
Bagi memudahkan penerima mesej memberikan reaksi pada mesej-mesej yang diterima, WhatsApp akan menawarkan ciri yang dikenali sebagai Reaksi emoji.
Reaksi emoji dijangkan akan tersedia di WhatsApp secara berperingkat kepada pengguna di seluruh dunia.
Ciri ini membolehkan pengguna berkongsi pendapat mereka dengan mudah tanpa membanjiri ruang sembang dengan lambakan mesej baharu.
3. Mesej dipadam Pentadbir
Pentadbir kumpulan kini diberikan lebih kuasa kawalan ke atas sesebuah kumpulan di mana Pentadbir dibolehkan untuk mengalih keluar mesej yang menyeleweng atau bermasalah daripada sembang semua orang.
Jadi kumpulan WhatsApp akan lebih tenteram selepas ini dari mesej-mesej bertoksik.
4. Boleh kongsi fail sehingga 2GB
Ciri ini pastinya melegakan pengguna kerana ciri perkongsian fail di WhatsApp akan dipertingkatkan yang mampu menyokong saiz fail sehingga 2 gigabit supaya orang ramai boleh berkolaborasi untuk projek dengan mudah.
Sehingga kini saiz dokumen maksimum yang dibenarkan dikongsi melalui WhatsApp adalah hanya 100 MB sahaja.
5. Antara muka panggilan suara baharu dan lebih meriah
WhatsApp menyatakan mereka akan memperkenalkan ciri panggilan suara satu ketik sehingga 32 orang dengan reka bentuk baharu untuk waktu-waktu apabila bercakap secara langsung.
Sebelum ini, WhatsApp hanya menyokong panggilan suara terhad untuk 8 orang sahaja.
6. Berhenti seketika dan sambung dengar audio mesej suara
Kini pengguna WhatsApp tidak lagi perlu mendengar audio mesej suara sekali lalu sahaja.
Sebaliknya anda kini boleh memberhentikan seketika (pause) mesej suara tersebut. Kemudian sambung kembali mendengar mesej suara itu di masa ia diberhentikan sebentar tadi.
Ciri ini amat berguna apabila anda menerima mesej suara yang lama durasinya di mana anda tidak lagi perlu mendengar semula dari mula mesej suara tersebut.
7. Memainkan mesej suara luar dari aplikasi
Mesej suara akan terus dimainkan walaupun anda menavigasi ke sembang atau grup lain dalam WhatsApp.
Malah kini anda juga boleh mendengar audio mesej suara yang diterima atau dihantar melalui WhatsApp luar dari aplikasi tersebut.
Sebelum ciri baru ini ditawarkan, pengguna perlu berada di ruang sembang bagi mendengar mesej suara yang diterima mereka.
8. Paparan mesej suara dalam bentuk gelombang audio
WhatsApp menambah baik paparan mesej suara dengan mereka bentuknya kepada visual gelombang.
Visual ini secara tidak langsung bukan sahaja menjadikan ia kelihatan menarik tetapi juga membantu anda mengetahui waktu audio bermula dan kekuatan bunyi audio tersebut.
9. Dengar dulu mesej suara sebelum hantar
Satu lagi ciri baru yang telah dimuatkan dalam WhatsApp adalah ciri yang membolehkan anda mendengar terlebih dahulu sebelum sesuatu mesej suara yang dibuat dihantarkan kepada penerimanya.
Jadi ia memberi masa kepada anda berfikir dahulu sebelum mesej suara yang dibuat itu dihantar kepada si penerimanya.
Untuk menggunakan ciri ini, anda hanya perlu menolak naik ikon mikrofon ke arah atas tanpa lepas seperti yang ditunjukkan dalam rajah di bawah.
10. Melajukan mesej suara
WhatsApp kini membolehkan anda memainkan audio mesej suara dengan melajukannya. Tetapan kelajuan pula adalah dari 1x, 1.5x atau 2x.
Jadi anda boleh menjimatkan masa apabila mendengar mesej suara yang lama durasinya.
11. Sokongan offline di platform lain
Salah satu ciri yang paling dinanti-nantikan pengguna WhatsApp akhirnya sudah pun tiba iaitu ciri di mana ia membolehkan pengguna WhatsApp tidak lagi perlu bergantung kepada sambungan peranti apabila menggunakan servis tersebut di platfom lain.
Sebelum ini ciri baru ini hanya boleh digunakan oleh pengguna versi WhatsApp Web Beta dan WhatsApp Desktop Beta sahaja. Tetapi kini ia sudah pun mula ditawarkan kepada semua pengguna untuk semua platfom.
Sebenarnya masih ada lagi beberapa ciri baharu lain yang sedang diuji WhatsApp ketika ini seperti yang pernah dilaporkan sebelum ini.
Tetapi yang disenaraikan di sini adalah antara ciri-ciri baharu utama yang sudah ditawarkan dan juga yang sedang diuji serta dirancang akan dimuatkan dalam aplikasi WhatsApp tahun ini.
Jadi bolehlah dimanfaatkan kelebihan-kelebihan baru ini dalam aktiviti sosial anda menerusi aplikasi WhatsApp.
Baca juga: