Isu scalper ini sudah berlaku sejak bertahun-tahun lamanya. Sebelum ini, kita biasa dengar scalper dalam hal-hal seperti kad grafik, konsol seperti Sony PlayStation, ulat tiket perlawanan bola sepak dan banyak lagi.
Sekarang ini, scalper dan aktiviti ‘scalping’ mereka itu banyak berlaku di negara kita terutamanya dalam isu pembelian kad TNG NFC.
Sebelum kita membincangkan hal ini lebih lanjut, jom kita kenali siapa itu scalper.
{suggest}
Siapa Itu Scalper Dan Apa Itu Scalping?
Scalper adalah individu atau pun kumpulan yang membeli apa jua barang atau yang mempunyai permintaan tinggi dalam kuantiti yang sangat banyak.
Selepas itu, mereka akan menjual semula kesemua barangan itu pada harga markup yang lebih tinggi untuk mendapatkan untung yang lebih banyak disebabkan permintaan barangan tersebut yang tinggi.
Oleh itu, bukanlah satu perkara yang ganjil apabila kita mendengar ramai orang yang tidak suka dan membenci scalper dan perbuatan scalping.
Hal ini demikian kerana aktiviti scalping ini menghalang peluang orang ramai daripada mendapatkan produk dan barangan tersebut dek kerana ketamakan golongan scalpers ini.
Isu Kad TNG Di Malaysia
Pada beberapa bulan yang lepas, Touch ‘n Go telah melancarkan kad TNG baharu yang menyokong ciri NFC yang lebih maju berbanding kad terdahulu.
Ciri NFC ini sangat memudahkan pengguna dan rakyat Malaysia kerana mereka dapat menambah nilai kad tersebut secara terus daripada telefon pintar mereka.
Dengan syarat telefon pintar tersebut mempunyai ciri NFC padanya. Oleh itu, kad TNG NFC ini adalah salah satu barang yang mempunyai permintaan yang sangat tinggi ketika ini.
Walaupun begitu, terdapat tangan-tangan tersembunyi atau scalper yang memborong kad ini dalam quantiti yang banyak dan menjualnya semula pada harga markup yang tidak masuk akal tingginya.
Berdasarkan sumber yang boleh dipercayai, pihak Touch ‘n Go juga perlu dipersalahkan dek kerana menjual kad TNG NFC batch pertama tanpa meletakkan had quantiti pembelian kepada pembeli.
Ketika ini, Touch ‘n Go meletakkan syarat pembelian satu kad setiap seorang selepas mendapat banyak bantahan, aduan dan kecaman daripada orang awam akan isu ini.
Kenapa Scalpers TNG NFC Lebih ‘Busuk’ Dari Scalpers Lain?
Berdasarkan harga jualan di bawah, takkanlah ada dikalangan kita perlu membayar harga hingga 8 kali ganda daripada harga rasminya, RM10 untuk mendapatkan sekeping kad TNG ini.
Sebenarnya, kad TNG NFC ini lebih kepada satu keperluan untuk semua rakyat Malaysia terutamanya mereka yang tinggal di kawasan bandar.
Tambahan lagi, banyak keperluan seperti pengangkutan awam, transaksi wayarles, pembayaran tol dan lain-lain mempunyai sokongan dan menggunakan platform Touch ‘n Go.
Erti kata lain, kad TNG NFC adalah satu alatan yang sangat diperlukan dan digunakan oleh pelbagai lapisan masyarakat Malaysia .
Berbanding kad grafik (GPU), konsol ataupun tiket perlawanan bola, itu hanyalah kemahuan diri sendiri dan secara amnya ia tidak diperlukan ataupun memainkan peranan penting dalam kehidupan harian kita semua.
Disebabkan itulah, saya berpendapat golongan scalpers yang mengambil kesempatan akan situasi kad TNG NFC ini dan menyukarkan urusan kita semua sememangnya tamak dan kurang prihatin akan situasi pengguna.
Pembaca di luar sana yang membaca artikel ini digalak untuk tidak menyokong sebarang penjual semula kad TNG NFC yang menjual dengan harga tinggi ataupun scalper barangan lain.