Sarung Tangan Ini Boleh Ubah Bahasa Isyarat Kepada Ayat

Ketika kecil, ada diantara kita yang tertanya-tanya apa yang sedang dilakukan oleh individu yang berada pada skrin kecil di penjuru paparan TV sewaktu slot berita. Mungkin ada yang berjenaka ia sedang membuat tarian tetapi itulah bahasa isyarat yang ditujukan khas untuk golongan kurang upaya.

Mengambil sedikit masa untuk dipelajari sesetengah orang, namun dengan teknologi yang ada sekarang, ia akan lebih mudah untuk difahami. Melalui kajian dari University of California Los Angeles (UCLA), penyelidik telah berjaya menghasilkan sarung tangan khusus untuk menukar bahasa isyarat kepada ayat.

https://www.youtube.com/watch?time_continue=8&v=p3uTRF3vrz8&feature=emb_title

Sarung tangan tersebut diletakkan dengan komponen serta sensor untuk mengesan pergerakan jari pemakai. Data dari gerakan jari tersebut kemudiannya ditukar kepada isyarat elektrik dan seterusnya diproses sebelum dihantar secara tanpa wayar kepada telefon pintar.

Selain itu, penyelidik turut melekatkan sensor pada muka pemakai supaya dapat merakam ekspresi muka pemakai kerana ia adalah sebahagian daripada Bahasa Isyarat Amerika.

Difahamkan bahawa terdapat ciptaan lain yang menawarkan penyelesaian serupa, tetapi apa yang membezakannya adalah dari segi rekaan. Sarung tangan ini dikatakan lebih kecil serta selesa untuk dipakai berbanding yang lain. Dari segi prestasi awal, prototaip tersebut mampu menterjemah sehingga 60 bahasa isyarat (bahasa Inggeris) pada kadar ketepatan 99%.

Penghasilan sarung tangan ini cuma menelan kos sebanyak $50 (~RM214) dan nilai tersebut boleh diturunkan lagi sekiranya memasuki fasa pengeluaran besar-besaran.

Jika teknologi ini dapat dikomersialkan suatu hari nanti, pastinya kita lebih mudah memahami apa yang cuba disampaikan pengguna bahasa isyarat.

Sumber: UCLA