Russia Menembak Musnah Pesawat Terbesar Dunia Milik Ukraine

Memetik laporan media antarabangsa, tentera Russia dilaporkan telah membedil satu-satunya pesawat terbesar di dunia milik Ukraine yang dikenali sebagai Antonov-225.

Ketika dibedil, pesawat itu berada di lapangan terbang Antonov di Gostomel, dekat Kyiv untuk penyenggaraan dan baik pulih.

Status keadaan pesawat itu pula selepas dimusnahkan masih belum diketahui. Pembina pesawat itu, ANTONOV Company menerusi Twitter serta laman sesawang rasmi mereka memaklumkan mereka tidak dapat melaporkan status teknikal pesawat tersebut buat masa ini berikutan lapangan terbang itu telah dirampas oleh pihak Russia.

https://twitter.com/AntonovCompany/status/1497967836337041409

Antonov-225 begitu unik dan ikonik kerana ia adalah satu-satunya pesawat jenisnya yang wujud di dunia.

Antonov-225 atau dikenali juga dengan nama Mriya(mimpi dalam bahasa Ukraine) itu merupakan sebuah pesawat pengangkut terbesar di dunia sepanjang 84 meter yang berupaya mengangkut muatan kargo sehingga 250 tan.

Apabila berlepas pula, Antonov-225 membawa berat keseluruhan pesawat maksimum sehingga 640 tan.

Kapsyen: Antonov-225 merupakan satu-satunya pesawat yang dilengkapi dengan 6 buah enjin.


Walaupun bersaiz besar, pesawat ini mampu mencapai kelajuan sehingga 850 kilometer sejam dengan muatan penuh dengan adanya 6 enjin kipas berkuasa turbo Ivchenko Progress Lotarev D-18T Turbofan yang sangat berkuasa.

Setiap enjin itu pula mampu menujahkan kuasa sehingga lebih daripada 23 tan kuasa tujahan ketika berlepas.

Kapsyen: Enjin D-18T Turbofan yang digunakan pada Antonov-225. Kredit: D-18T Turbofan | Ivchenko-Progress SE


Walaupun begitu berkuasa, enjin Antonov-225 adalah jimat minyak sekaligus membolehkan pesawat itu diterbangkan tanpa henti sejauh 15,400 kilometer.

Antonov-225  memiliki rentang sayap sepanjang 88.40 meter serta kawasan luas sayap yang meliputi 905 meter persegi.

Ketinggian pesawat ini pula adalah 18.2 meter dan juga dilengkapi dengan sebanyak 32 tayar gear pendaratan.

Kapsyen: Tangki minyak Antonov 225 boleh menampung sebanyak 300,000 kilogram bahan bakar. Kredit: Antonov Airlines


Antonov-225 telah pun berkhidmat selama lebih daripada 30 tahun selepas membuat penerbangan sulungnya pada 21 Disember tahun 1988 dahulu.

Sejak itu, ia telah melakukan pelbagai misi penerbangan seperti membawa kargo berat ke pelbagai negara di seluruh dunia.

Antonov-225 juga pemegang rekod dunia Guinness sehingga kini selepas menerbangkan kargo tunggal seberat 187.6 tan metrik iaitu generator kuasa di Lapangan terbang Frankfurt Hahn, Frankfurt, German pada 11 Ogos 2009.

Malah Antonov-225 juga bukanlah asing dengan Malaysia kerana pesawat ini pernah mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebanyak tiga kali iaitu dalam tahun 2007, 2016 dan 2018 dahulu.

https://youtu.be/6sggQqdvqHs

Apa yang boleh disimpulkan adalah kemusnahan Antonov-225 merupakan satu kerugian buat dunia kerana ia adalah satu-satunya jenis pesawat seperti itu yang pernah dibangunkan oleh manusia.

Walaupun Ukraine pernah cuba menghasilkan unit kedua Antonov-225, tetapi projek pembinaan pesawat itu telah terbengkalai.

Sumber: D-18T Turbofan | Ivchenko-Progress SE,  Guinness World Records, Antonov Airlines, interestingengineering.com, ukroboronprom.com.ua, CNN Travel, antonov.com

Baca juga: