realme hari ini mengumumkan pelancaran siri Narzo 30 bersama pengenalan fon telinga TWS terbaru iaitu realme Buds Air 2. Fon telinga TWS ini merupakan penerus kepada Buds Air yang dilancarkan pada 2019.
Dari segi rekaan, fon telinga ini kelihatan hampir sama seperti Buds Air Pro. Ia dikuasaka cip R2, di mana realme mengatakan fon telinga ini menawarkan 80% peningkatan jangka hayat bateri dan mengurangkan latensi 35% daripada pendahulunya.
Buds Air 2 turut dilengkapi pemacu 10mm dengan lapisan Diamond-like Carbon (DLC) untuk memberikan sokongan suara yang lebih jelas serta bass dan tindak balas frekuensi yang lebih baik.
Antara yang menjadi tumpuan adalah sokongan pembatalan hingar aktif (ANC), di mana ia tidak ditawarkan pada generasi pertama Buds Air. Menerusi ANC yang ditawarkan pada Buds Air 2, ia boleh mengurangkan bunyi bising sehingga 25dB dan sebagainya. Selain ANC, ia turut dimuatkan dengan sokongan pembatalan hingar persekitaran (ENC).
realme turut memperkenalkan mod Bass Boost+ baharu, yang dibangunkan dengan kolaborasi duo Chainsmokers. Sebagai tambahan, realme menambah dua preset baharu pada aplikasi realme Link iaitu Dynamic dan Bright.
Antara lainnya termasuk kawalan melalui sentuhan, dwi-mikrofon, sokongan Smart Wear Detection, penarafan IPX5, Bluetooth 5.2 serta naik taraf Game Mode dengan latensi sehingga 88ms.
Untuk jangka hayat bateri, Buds Air 2 mempunyai ketahanan sehingga 5 jam bagi satu pengecasan penuh dan 25 jam bagi penggunaan bersama kerangka pengecasan.
Terdapat dua pilihan warna yang ditawarkan iaitu Black dan White. Untuk harga, Buds Air 2 ditawarkan pada harga ₹3,299 (~RM184). Buat masa ini, belum diketahui bila ia akan tiba untuk pasaran tempatan.