Produk yang betul-betul mencuri perhatian saya dalam Galaxy Unpacked ini, semestinya Samsung Galaxy Watch Ultra. Memandangkan saya sendiri pengguna Apple Watch Ultra 2, memang saya mahu mengetahui lebih lanjut apa penawaran Samsung.
Jam Tangan Pintar Samsung Akhirnya “Jadi Ultra”
Samsung Galaxy Watch Ultra merupakan jam tangan pintar paling berkuasa oleh Samsung dan ia bakal menggantikan siri Watch Pro mereka.
Luar nampak macam saiz Apple Watch Ultra tetapi saiz sebenarnya adalah 47mm sahaja. Tampil dengan binaan Titanium gred 4, rupa berbentuk petak tetapi skrin berkecerahan 3000 nits masih lagi bulat dan diperbuat daripada kaca nilam (sapphire). Malah, ia juga memang ringan.
Ia boleh bertahan sedalam 10 ATM, penarafan IP68 dan gred tentera Mil-Std 810h. Dikatakan juga boleh bertahan pada suhu ekstrem serendah -20°C sehingga 55°C.
Bahagian sisinya ada dua butang bersama satu butang ‘crown’. Butang yang dipanggil ‘quick button’ ini boleh disesuaikan fungsinya. Mirip ‘action button’. Selain itu, ia juga ada fungsi siren apabila ditekan lama. Mirip fungsi Apple Watch Ultra.
Bukan itu sahaja, ada lagi perkara yang Samsung tiru. Dynamic Lug System diterapkan, iaitu untuk proses tukar tali jam. Penukaran tali jamnya kali ini memang menggunakan sistem Apple. Ia sebenarnya jauh lebih mudah berbanding Galaxy Watch dahulu. Selain itu, ada juga muka jam (watch face) yang menyokong mod malam. Kalau anda tidak tahu, mod malam akan menukarkan muka jam anda kepada hitam dan merah sahaja. Malang sekali, saya tidak dapat menggunakannya pada waktu sesi mencuba.
Tambahan lagi, ada juga ciri ‘double tap’ seperti Apple. Fungsi ini boleh jeda atau main semula lagu, pemasa dan lain-lain. Namun, ia masih tak ada gestur dengan telapak tangan lagi.
Bateri macam mana pula? Samsung kata ia boleh bertahan sehingga 100 jam dengan mod penjimatan bateri dan 48 jam jika pada mod senaman. Jangka hayat bateri tersebut adalah lebih kurang Apple Watch Ultra juga.
Lain-lain adalah mode ‘race’, mod untuk penunggang basikal profesional, sistem dwi-frekuensi GPS, sensor dipertingkatkan dan penggunaan cip Exynos W1000, pemproses 3nm pertama pada jam tangan pintar.
Pemproses tersebut menawarkan 3x lebih pantas untuk CPU dan 30% kecekapan tenaga dalam memproses aplikasi.
Sekiranya anda tak minat Ultra, Watch7 masih lagi ada. Bagaimanapun, tidak banyak beza dengan pendahulunya. Hanya beberapa naik taraf sahaja seperti cip baharu, sensor BioActive baharu, ciri gestur guna jari seperti Watch Ultra dan ada AI yang boleh cadang untuk balas mesej.
Kesimpulan
Kalau anda tanya saya, adakah berbaloi untuk memiliki Galaxy Watch Ultra ini? Saya boleh katakan ya dan juga tidak.
Sebenarnya, masih terlalu awal untuk saya simpulkan kerana saya belum memakainya untuk kegunaan harian.
Bagaimanapun, pada pandangan pertama saya, ia berbaloi untuk anda yang menggunakan telefon Android dan mahukan jam tangan pintar ultra.
Saya tidak menyarankan anda untuk beli sekiranya anda mahukan fungsi sukan semata-mata. Ini kerana, saya melihat ramai yang sentiasa mengeluh tentang bateri apabila menggunakan jam tangan pintar.
Pengalaman saya menggunakan Apple Watch Ultra 2, jangka hayat baterinya memang mirip dengan Samsung Galaxy Watch Ultra di mana boleh bertahan sehingga 4 hari dengan mod jimat bateri.
Kalau anda dalam golongan yang saya katakan mahu fungsi sukan, alternatif lain ada di pasaran seperti Garmin atau Suunto (peranti ini premium juga).
Apa saya boleh katakan, jam tangan pintar seperti ini disasarkan untuk orang yang seimbang penggunaannya seperti bersukan, kesihatan dan juga “pengganti” telefon apabila di luar.
Tambahan lagi, pengalaman perisian pada jam tangan pintar sebegini memang jauh sekali beza berbanding jam tangan seperti Garmin, Suunto, Amazfit, Coros dan lain-lain.
Ia adalah untuk golongan yang ingin melengkapkan ekosistem mereka memandangkan ekosistem Samsung hampir sempurna seperti Apple.
- Beli produk Samsung di Shopee: https://invl.io/clldpa7
- Beli produk Samsung di Lazada: https://invol.co/clldpa1