Reaksi Awal Nothing Phone (1) - Bukan Sekadar 'Lip Lap'

Baik pengikut tegar teknologi mahupun yang sekadar ambil tahu untuk up-to-date, kedua-dua golongan ini pastinya maklum benar tentang kewujudan Nothing Phone (1) yang sudah rasmi di Malaysia.

Ia ditawarkan dalam 2 varian di Malaysia:

  • 8GB + 256GB - RM2,399

  • 12GB + 256GB - RM2,699


Kami telah dijemput ke acara pelancarannya tempoh hari dan kini sedang menggunakannya sebagai peranti harian. Sebelum kami siarkan ulasan penuh mengenai telefon sulung daripada Nothing ini, ada baiknya kami kongsikan terlebih dahulu reaksi awal.

Rekaan Lampu 'Glyph'


(Jampi yang buat semua tergila-gila)

Yang menjadi keunikan paling utama dan faktor utama orang tergila-gilakan telefon ini adalah rekaan lampu di belakang yang dipanggil 'glyph'.

Dari jauh, nampak macam huruf C, bagi saya ia sengaja dicipta demikian merujuk pada Carl Pei selaku pengasas jenama ini. Ada juga teori mengatakan ia tampak seperti seakan-akan logo Apple, yang tidak dinafikan ada benarnya.

Lampu glyph ini akan menyala apabila ada mendapat panggilan, menerima mesej, notifikasi tugasan spesifik bagi aplikasi dan lain-lain.



Untuk panggilan, ada 20 jenis irama glyph yang bermakna lampu-lampu ini bercahaya mengikut rentak nada. Anda juga boleh tetapkan setiap kenalan dengan pilihan glyph yang berbeza.

Tapi, ciri pencahayaan glyph mengikut rentak ini terhad untuk panggilan.

Menariknya, ia juga boleh digunakan sebagai flash semasa merakam atau mengambil gambar selain flash LED konvensional yang ada pada semua telefon hari ini. Cahaya ini nampak lebih lembut berbanding LED.

Oh ya, ia juga boleh dijadikan music visualiser contohnya ketika Spotify dan YouTube Music memainkan lagu. Nyalaannya tidaklah tepat berdasarkan rentak lagu, tetapi sedikit sebanyak memeriahkan suasa dan perasaan 'ciwi', kata orang kampung saya.

Saya percaya fungsi ini hanya akan digunakan dalam masa sebulan awal saja, kemudian pengguna akan mematikannya bila sudah puas bermain.

Satu lampu di bahagian berhampiran port pengecas berfungsi sebagai penanda bateri. Kami juga mendapati ia sangat menarik selain praktikal.

Spesifikasi


(Cip kelas pertengahan tapi terbaik dalam kelasnya)

Mungkin ramai sedikit hairan dan kecewa, apa hal peranti yang gaya iklan yang penuh hype hadir dengan cip kelas pertengahan? Tak berbaloi langsung untuk hype.

Namun, cip Snapdragon 778G+ ini adalah cip paling berkuasa dalam kelas pertengahan. Ia sesuai buat pengguna harian biasa yang bukan kaki game. Untuk multitasking dan tugasan harian, memang tiada masalah sepatutnya.

Bak kata saudara Imran yang akan mengulas telefon ini, ia bukan untuk si pentaasub spesifikasi.

Untuk game seperti Apex Legends atau Call of Duty, tetapan grafik maksimum hanya setakat normal.

Kamera


(Jangan pasang angan-angan Mat Jenin)

Untuk keupayaan kamera, kami sarankan jangan pasang jangkaan yang tinggi kerana hasil foto ditangkap hanya biasa-biasa.



Dua lensa 50MP yang disusun di belakang terdiri daripada utama sensor IMX766 dan satu lagi pula sudut lebar 114 darjah.

Dari segi spesifikasi, kami boleh puji kerana membawakan dua lensa yang berguna iaitu utama dan ultralebar yang sering digunakan pengguna. Memang tiada hype yang sering dibawa jenama lain seperti 4-5 buah lensa di belakang.



Namun, dari segi penggunaan sebenar, kualiti foto tidak cukup 'wah'.

Skrin, Pembesar Suara


(Skrin baik-baik saja tapi audio mengecewakan)

Paparan OLED ditampilkan berukuran 6.55 inci dengan kadar segar dinamik 120Hz. Sejak pertama kali memegangnya, memang nampak paparannya memuaskan hati untuk sebuah telefon kelas pertengahan.

Kualiti audio daripada pembesar suara pula memang tidak boleh dibuat kunci utama pemasaran. Bunyi dihasilkan kedengaran agak rata atau 'flat'.

Dengan 'glyph' yang menyala di semasa memainkan lagu, tidak dapat kami letak tepi jangkaan untuk menerima kualiti audio yang baik. Namun, kami kecewa.

Ada situasi di mana bunyi terdengar sedikit pecah mengikut lagu dan volume maksimumnya tidak cukup kuat.

Ringkasnya, ia berfungsi, "boleh guna"  kata orang tetapi untuk puaskan hati memang jauh sekali, terutama mereka yang sangat sensitif dengan audio.

Bateri, Pengecasan


(Bolehkah ketiadaan pengecas selamatkan dunia?)

Saiz kapasiti bateri dilengkapkan pada Nothing Phone (1) pun biasa saja iaitu 4,500mAh, tidak tinggi tetapi boleh dikatakan cukup untuk penggunaan biasa harian.



Ia menyokong pengecasan 33W namun yang paling malang dan boleh dikatakan jenayah oleh syarikat pengeluar telefon hari ini ialah tidak menyertakan pengecas di dalam kotak.
Carl Pei mungkin berasa ini selari dengan falsafahnya yang memvisikan penyatuan dunia dengan teknologi yang terlalu sebati sehingga teknologi itu akhirnya -- tiada (justeru, 'Nothing').

Selain itu, ia juga menyokong untuk pengecasan tanpa wayar sehingga 15W manakala pengecasan songsang pula 5W.

Di dalam kotak yang leper, anda hanya mendapat kabel USB-C sebagai tanda 'Hai, kami tak bagi pengecas tapi jangan lupa cas dengan kabel Type-C kami, ya!"

Nothing menjual pengecas berkelajuan 45W mereka dengan harga RM139.

Perisian


(Luar kondo, dalam pun macam kondo)

Sejurus saja meraba-raba tubuh telefon ini, terus saja tatal dan godek sistem dalamannya. Sejak kali pertama, saya terus jatuh suka dan teringat pada pengalaman cemerlang menggunakan Pixel UI.

Tarik saja talam notifikasi, sememangnya jelas konsep Material You dibawakan Google diguna pakai pada Nothing OS.

Keluar masuk aplikasi, ke sana sini memang lancar. Bukan saja prosesnya tapi juga dari visual dan animasi. Namun ini masih reaksi awal, untuk ketahui pengalaman menyeluruh, nantikan ulasan penuh kami.

Selain kelancaran sistem, yang penting ialah ketiadaan aplikasi bloatware. Jadi, tak perlu pengguna kerahkan jari nyahpasang setiap aplikasi yang tidak pernah didoakan untuk berada dalam telefon mereka.



Nothing OS hadir dengan sedikit sentuhan daripada Nothing seperti font dan widget. Setakat ini, memang terasa agak sedikit tambahannya tapi lebih baik minimal daripada terlebih ciri sehingga bikin sistem kerap tergendala.

Oh, ciri floating windows juga tidak ketinggalan, ia disokong Nothing OS. Anda juga boleh mencuba pelancar ini dengan memuat turunnya di Play Store.

Bagi saya, nilai minimalistik inilah yang membuatkan saya ingin benar menggunakan Nothing Phone (1), bukannya lampu lip lap di seumpama hiasan dunia yang sementara.



Untuk harga pula, bagi saya sedikit mahal memandangkan ia menggunakan cip kelas pertengahan.

Tidak pasti apakah Carl Pei sengaja mengikut langkah Apple dari segi harga juga namun dengan ketiadaan pengecas, cip pertengahan, kualiti pembesar suara yang 'kureng', diperbuat daripada bahan dikitar semula, ia seolah-olah ironik memikirkan telefon ini bukan dicipta untuk golongan 'bangsawan' dan 'pentaasub spesifikasi'.

Bagi ulasan penuh, nantikan daripada kami untuk mengetahui sejauh mana kemampuan Nothing Phone (1) ini bagi tempoh penggunaan jangka masa panjang.