(Reaksi Awal) HONOR Magic6 Pro, Ada Sesuatu Yang Kurang

Siri Magic daripada HONOR sememangnya menjadi taruhan penting setiap tahun memandangkan ia merupakan telefon pintar berkelas andalan bagi syarikat tersebut.

Tidak perlu menunggu lama, HONOR tahun ini dengan pantas membawa masuk penawarannya terbaru menerusi Magic6 Pro.

Namun, adakah ia masih lagi mampu memberikan "magik" buat pengguna?

Bagi HONOR Magic6 Pro, perasaan saya terhadap peranti ini sedikit bercampur, teruja dan ada sedikit kecewa.

Nak tahu? Teruskan membaca.

https://www.youtube.com/watch?v=_dwPmuOqQwI&t=20s

{suggest}

Sensor periskop besar dalam telefon pintar




Seperti biasa, siri bernombor HONOR Magic dari dahulu memang memfokuskan kamera. Tahun ini, mereka menawarkan satu pendekatan agak berbeza dengan pesaingya yang mana lensa periskop hadir dengan 180MP.

HONOR menggelarkannya sebagai "telefalcon camera". Ia boleh zum optikal 2.5x. Ya, kalau nak dibandingkan dengan Magic5 Pro tahun lalu, ia memberikan zum optikal 3.5x.

Namun, HONOR dilihat mengimbangkannya dengan 50MP vs 180MP. Mereka korbankan 3.5x kepada 2.5x tetapi memberikan resolusi 180MP berbanding 50MP.

Tapi, ada beza ke? betul ke terasa naik taraf tu?

Sebenarnya, masih terlalu awal untuk saya menilai kemampuan sebenar lensa periskop HONOR Magic6 Pro ini.

Setakat anda baca, saya baru sahaja mencuba tidak sampai seminggu. Akan tetapi dari pandangan pertama saya melihat hasil yang diberikan, saya sedikit kecewa.

Apa yang saya boleh katakan, gambar daripada zum digital hanyalah jelas sehingga 10x sahaja. Lebih daripada itu, agak teruk jika nak dibandingkan dengan pesaingnya.



Saya mencuba dalam mod 'photo' dan juga pada mod 'high res' tetapi hasil yang saya dapat tidak seperti yang dijangkakan.

Bukanlah teruk tetapi mungkin saya meletakkan harapan yang terlalu tinggi pada lensa periskop Magic6 Pro ini.

Saya beranggapan, ia mungkin berkaitan dengan perisian atau AI yang tidak berapa serasi lagi. Isu ini umpama yang berlaku pada Samsung Galaxy S24 Ultra yang kami telah ulas.

Malah, saya pun belum mencuba zum dengan mengaktifkan motion sensing capture yang mana HONOR mendakwa ia boleh memberikan hasil gambar lebih jelas.

Bagaimanapun, jangan salah faham kerana ini hanyalah tanggapan awal. Saya akan mencubanya lagi dan akan memberikan ulasan penuh dalam masa beberapa hari akan datang.

Untuk lensa lain seperti utama, ultra lebar dan juga swafoto, pada mata saya ia masih lagi baik. Dari segi warna dan tona kulit saya boleh katakan mirip dengan peranti Huawei Mate 50 Pro, Huawei P60 Pro dan juga peranti Xiaomi dengan Leica yang saya pernah cuba sebelum ini.

Tidak hairan pun sebab saya rasa HONOR masih lagi mempunyai sedikit DNA daripada Huawei.

Skrin sangat terang tapi tak sakit mata




Paparan pada HONOR Magic6 Pro hadir dengan 1600 nit (HBM) dan puncak kecerahan HDR mencapai 5000 nit. Apabila dicuba di situasi luar, apa saya boleh katakan memang cukup cerah. Tidak perlu leret sehingga kecerahan maksimum, letakkan pada 50% ke sekitar 60% pun sudah terang pada situasi di luar.

Walaupun begitu, ia tidak sakit mata kerana PWM pada skrin ini adalah setinggi 4320Hz dan menerima banyak pengiktirafan daripada TÜV Rheinland.

Seperkara lagi, paparan berbentuk pil kali ini lebih kemas yang mana berada di tengah-tengah. Bukan macam iPhone sebaliknya iPhone yang mengambil inspirasi dari rekaan sebegini.



Ia pun masih kekalkan sensor 3D ToF yang mana pengecaman wajah untuk nyahkunci menggunakan imbasan wajah jauh lebih cepat biarpun pada persekitaran gelap dan tahap keselamatannya pun lebih tinggi.

Tambahan lagi, ciri Magic Capsule turut hadir untuk Magic6 Pro yang mana fungsinya ibarat yang kita lihat dalam barisan iPhone 14 Pro dan ke atas.



Dari segi rekaan, pun tidak banyak sangat perubahan berbanding Magic5 Pro. Seperti modul kameranya, ia tampak sama tetapi sedikit melengkung.

Panel belakangnya pula diperbuat daripada kulit. Walaupun rasa macam plastik tetapi bukan. HONOR sendiri pun mengesahkannya adalah daripada kemasan kulit.

Akhir sekali, saya terasa yang Magic6 Pro ini sedikit berat berbanding Magic5 Pro tetapi perkara ini hanyalah subjektif. Ada yang tidak kisah pun masalah tersebut.

Bateri yang besar tapi cas laju


Ini saya puji HONOR kerana mampu memberikan kapasiti sebesar 5600mAh dalam reka bentuk yang sama pada model terdahulu.

Ia menggunakan bateri silikon karbon generasi kedua yang mana ia adalah inspirasi daripada bateri yang terdapat dalam kenderaan elektrik (EV).

Melaluinya lagi, HONOR juga mengatakan ia mampu beroperasi biarpun dalam suhu ekstrem sejuk.

Dari segi kelajuan mengecas, Magic6 Pro dinaik taraf dengan menyokong kelajuan sehingga 80W berwayar dan 66W tanpa wayar.

Bagi saya, kelajuan mengecas tanpa wayar itu memang laju. Umpama mengecas dengan wayar tetapi untuk mendapatkan kelajuan tersebut, kena ada pengecas yang serasi dengannya.

Harap Magis pada Magic ada sinar




Sebenarnya saya dan juga saudara Afiq mempunyai harapan yang sangat tinggi terhadap HONOR Magic6 Pro khususnya pada bahagian kamera.

Kenapa kamera? Sebab peranti ini memang memfokuskan bahagian ini. Sama seperti vivo X100 Pro atau Xiaomi 14 Ultra yang baru sahaja dilancar.

Malah, saya perhati, HONOR Magic juga antara yang paling dinanti-nantikan pengikut Wiser.MY.

Untuk awal ini, saya kurang berpuas hati pada kameranya terutama lensa periskop. Saya berharap agar HONOR melakukan sesuatu seperti kemas kini bagi membetulkan apa yang patut.

Tidak mengapa, seperti saya katakan pada permulaan, masih terlalu awal untuk saya merumuskan HONOR Magic6 Pro.

Oleh itu, nantikan ulasan penuhnya dalam masa terdekat.

Beli produk HONOR di:

Shopee - https://invl.io/clkp240

Lazada - https://invol.co/clkp24d