Pada Persidangan Pembangun Huawei 2024, Yu Chengdong, pengarah eksekutif Huawei dan pengerusi Terminal BG dan Intelligent Automotive Solutions BU mengumumkan, pembangunan ekosistem HarmonyOS secara rasmi telah memasuki fasa ujian Beta pembangun.
Pencapaian ini menandakan kemajuan besar dalam ekosistem HarmonyOS, yang dijadualkan bersedia dilancarkan kepada umum pada suku keempat tahun ini.
Sistem operasi untuk telefon pintar Huawei itu juga dikenali dengan nama Hongmeng di China.
Ujian Beta HarmonyOS NEXT kini terhad kepada model khusus yang digunakan di tanah besar China, termasuk:
- HUAWEI Mate 60
- HUAWEI Mate 60 Pro
- HUAWEI Mate 60 RS | ULTIMATE DESIGN
- HUAWEI Mate 60 Pro+
- HUAWEI Mate X5
- HUAWEI Mate X5 Collector’s Edition
- HUAWEI MatePad Pro 13.2-inch
- HUAWEI MatePad Pro 13.2-inch Collector’s Edition
Dibangun sepenuhnya secara asli oleh Huawei dari mula, syarikat itu mendakwa seni bina sistem baharunya itu memberikan peningkatan keseluruhan 30% dalam prestasi mesin dan pengurangan 20% dalam penggunaan kuasa.
Ciri teras HarmonyOS NEXT ialah keupayaannya untuk merapatkan jurang antara peranti yang berbeza.
Menurut Huawei, pembangun hanya perlu mencipta satu versi aplikasi untuk memastikan pengalaman pengguna yang konsisten merentas pelbagai saiz skrin dalam ekosistem Huawei.
Ini ditunjukkan pada persidangan itu dengan aplikasi popular seperti Taobao, Yiche dan Bilibili berjalan lancar pada peranti berbeza.
Huawei juga mendakwa, HarmonyOS kini tersedia pada lebih 900 juta peranti.
Huawei menyatakan mereka telah membuat kejayaan yang pantas dalam pencapaian bidang daripada sistem pengendalian kepada kecerdasan buatan di mana syarikat itu hanya mengambil masa 10 tahun berbanding 30 tahun yang diambil Amerika Syarikat dan Eropah.
Tidak hanya tentang sambungan peranti, HarmonyOS NEXT turut menyepadukan keupayaan kecerdasan buatan (AI) terus ke dalam sistem, yang dikenali sebagai “Harmony Intelligence.”
Antara ciri utama AI dalam HarmonyOS NEXT adalah membolehkan aplikasi pihak ketiga memanfaatkan AI untuk ciri seperti pembacaan teks masa nyata, pengisian borang pintar dan terjemahan imej/teks.
HarmonyOS NEXT masih dalam peringkat pembangunan, dengan pelancaran komersial dijangka pada suku ke-4 2024.
Fasa ujian beta telah pun bermula dan Huawei sedang giat mencari pembangun dan pengguna awal untuk memberikan maklum balas dan membantu memperhalusi sistem tersebut.
{suggest}
Sumber: GizmoChina, GizChina, Reuters