Qualcomm Beri Jaminan Sistem Cip Samsung Galaxy S10 Setanding Dengan iPhone 2018

Baru-baru ini kita didedahkan dengan berita mengenai iPhone 2018 bakal hadir dengan sistem cip yang lebih canggih, secara logiknya A12, bagi memastikan ia akan terus berada di hadapan pesaing-pesaingnya.

Namun, belum pun peranti itu dilancarkan, Huawei pula telah mengesahkan bahawa mereka telah berjaya menghasilkan cip pemprosesan 7nm(Kirin 980) yang lebih pantas dan efisyen berbanding cip premium hari ini.

Tidak mahu ketinggalan kepada para pesaingnya, Qualcomm juga memberi jaminan bahawa mereka akan membangun cip pemprosesan 7nm mereka sendiri dalam masa terdekat. Mereka juga memberitahu BGR dengan jelas bahawa cip tersebut akan digunapakai pada peranti premium Samsung yang akan dilancarkan tahun hadapan, Galaxy S10.

Sistem cip yang dijangka akan dinamakan sebagai Snapdragon 855 atau 8150 itu turut dilaporkan akan menyokong teknologi 5G. Sebelum ini, kami juga pernah melaporkan bahawa ia juga bakal hadir dengan teknologi unit pemprosesan neural(NPU).


Kredit : Techwelike


Bagaimanapun, terdapat beberapa persoalan yang timbul mengenai status peranti Galaxy S10 yang akan dipasarkan bagi pasaran luar selain Amerika dan China, kerana mereka sebelum ini hadir dengan cip Exynos dan bukannya Snapdragon.

Akan tetapi, kebanyakan pemerhati industri berpendapat bahawa Samsung akan membangunkan sistem cip Exynos 7nm mereka sendiri bagi terus digunakan pada model Galaxy S10 dan model-model perdananya yang lain selepas ini.

Seperkara lagi yang menarik mengenai perkara ini ialah, Samsung sebelum ini pernah mengesahkan bahawa Galaxy S10 bukanlah peranti pertama mereka yang akan menyokong fungsi 5G. Lantas, ia memberi gambaran bahawa S10 juga bukanlah peranti pertama yang hadir dengan sistem cip terbaru ini.

Samsung Galaxy F(foldable), mungkin? Mungkin.

 

Sumber