Qualcomm Dilaporkan Mahu Bawa Teknologi NPU Pada Cip Snapdragon 855

Beberapa hari yang lepas, Huawei telah mengesahkan bahawa peranti Mate 20 akan menjadi yang pertama untuk menggunakan cip pemprosesan terbaru, Kirin 980. Dan semalam, pencabar mereka, Qualcomm pula dikatakan mendedahkan maklumat baru mengenai cip Snapdragon 855 mereka.

Menurut laporan WinFuture, sistem cip yang masih belum dilancarkan itu mungkin akan hadir dengan teknologi unit pemprosesan neural(NPU). Teknologi ini penting bagi membolehkan fungsi kecerdasan buatan(AI) yang lebih baik berjaya diperolehi.



Langkah ini perlu diambil bagi menyaingi kepantasan AI yang ada pada sistem cip Kirin ketika ini. Untuk maklumat, NPU yang digunakan oleh Kirin 970 dilaporkan jauh lebih pantas berbanding sokongan AI yang ada pada cip Snapdragon 835 yang menggunakan Hexagon DSP.

Huawei menerusi HiSilicon Kirin 970 telah memperkenalkan teknologi berkenaan pada beberapa peranti mereka sebelum ini. Antara peranti yang menikmatinya ialah Honor 10, Huawei P20 Pro dan Mate 10 Pro.



Selain daripada itu, laporan itu turut menyatakan bahawa Snapdragon 855 mungkin akan dipasarkan sebagai Qualcomm Snapdragon 8150. Ia berikutan beberapa laporan yang terdedah sebelum ini, di mana Qualcomm mahu memperkenalkan cip Snapdragon dengan empat angka, berbanding tiga angka sekarang.

Berbeza dengan Huawei(atau HiSilicon), Qualcomm masih belum membuat sebarang kenyataan tentang peranti pertama yang akan menggunakan sistem cip Snapgragon 855 atau 8150 mereka ini. Sama-sama kita nantikannya.

 

Sumber