Selepas bertahun-tahun peminat tempatan terpaksa membeli Google Pixel melalui saluran tidak rasmi (set import), akhirnya pada Ogos 2024, Google secara rasmi membawa masuk Pixel ke pasaran Malaysia.
Ini pastinya berita baik buat peminat Android asli yang sebelum ini perlu bersusah payah mendapatkan Pixel. Namun, adakah kemasukan rasmi ini berjaya menggugat jenama lain seperti yang dijangka ramai sebelum ini?
Hakikatnya, realiti tidak seindah harapan peminat setia Pixel. Walaupun dijual secara rasmi di peruncit seperti Urban Republic dan syarikat ‘telco’ seperti Maxis serta CelcomDigi, sambutan terhadap Pixel di Malaysia setakat ini masih lagi boleh dianggap sederhana sahaja.
Jangkaan sesetengah pentaasub Pixel yang mendakwa jenama Android lain bakal “bungkus” apabila Pixel rasmi tiba, ternyata jauh meleset.
Kemasukan Rasmi Pixel ke Malaysia – Harga Premium, Servis Belum Kukuh
Buat pertama kali sejak pelancaran generasi Pixel pertama (2016), Google memilih model Pixel 9, Pixel 9 Pro, dan Pixel 9 Pro XL untuk diperkenalkan secara rasmi ke pasaran tempatan. Harga pula agak premium—Pixel 9 dijual pada RM3,999, manakala model tertinggi Pixel 9 Pro XL mencecah RM5,699.
Walaupun peminat teknologi gembira kerana tidak lagi perlu bergantung kepada unit import, kehadiran rasmi Pixel masih dihambat beberapa isu praktikal.
Antara kebimbangan terbesar ialah sokongan selepas jualan. Tidak seperti Samsung atau Apple yang memiliki pusat servis khusus hampir di setiap bandar utama di Malaysia, Google sehingga kini belum mempunyai pusat servis rasmi.
Ini menimbulkan persoalan, “kalau rosak, nak hantar mana?”, membuatkan pembeli arus perdana agak ragu-ragu untuk mencuba Pixel buat pertama kali.
Memang benar, ada pihak ketiga yang boleh melakukannya tetapi peranti baharu, agak tidak sesuai buat demikian.
Umpama kita beli kereta, baru sahaja pakai dan apabila sudah tiba masanya untuk servis 10k, pasti kita pergi ke SC, bukan bengkel pihak ketiga. Lagi-lagi kalau pakai kereta yang menawarkan 5 tahun servis percuma.
Sambutan Pixel Masih Terhad Kepada Peminat Tegarnya Sahaja
Meskipun terdapat sedikit hype semasa pelancaran rasmi, Pixel gagal menembusi kelompok lima teratas jenama telefon pintar di Malaysia yang masih didominasi Apple (~32%), Samsung (~13%), diikuti jenama China seperti OPPO, vivo dan Xiaomi. Pixel dikategorikan sebagai jenama niche dengan anggaran pegangan pasaran kurang dari 1-2%.
Di laman forum seperti Lowyat.net, rata-rata pengguna mempersoalkan adakah Pixel benar-benar berbaloi dibeli, terutamanya dengan cip Google Tensor yang setara Exynos pertengahan sahaja.
Ungkapan sinis seperti “RM5k untuk Exynos, baik beli Samsung atau iPhone terus” sering menjadi ejekan di kalangan pengguna tempatan, jelas menggambarkan kekurangan keyakinan terhadap keupayaan perkakasan Pixel.
Saya sendiri sentiasa memerhati di ruangan komen platform media sosial Wiser MY dan juga berada dalam group FB Pixel Malaysia, memang perkara ini (harga) menjadi isu.
Dulu Kamera Pixel Hebat, Sekarang Jenama China Sudah Mendahului
Sejak pelancaran Pixel generasi awal, kelebihan utama Pixel sentiasa kamera yang dipacu perisian Google AI. Namun, situasi kini berbeza.
Jenama China seperti siri vivo X200 Pro atau Xiaomi 15 Ultra dilihat berjaya mengejar malah memintas kemampuan kamera Pixel. Ketika Pixel masih bergantung kuat kepada perisian, pesaing sudah mula menggunakan sensor kamera yang jauh lebih besar serta lensa optikal lebih maju.
Ini menyebabkan imej yang dihasilkan Pixel nampak ketinggalan berbanding persaingan terbaru.
Lebih sedih apabila keunikan AI Goole tidak lagi terhad kepada Pixel sahaja. Kebanyakan ciri terbaru, diberikan kepada peranti Samsung.
Saya tidak pasti mengapa Google membuat strategi sebegitu tetapi pendapat saya adalah mereka tahu yang peranti Samsung jauh lebih ke hadapan berbanding telefonnya sendiri.
Malah, jenama Samsung itu sendiri lebih dikenali.
Kalau AI sudah tidak unik, kamera pun ketinggalan, apa lagi yang boleh meracun pengguna untuk membeli Pixel?
Pixel di Malaysia – Produk Baik, Strategi Lemah
Sebagai ahli Wiser My, pengalaman kami sendiri menunjukkan bahawa Google masih belum serius dalam menakluki pasaran Malaysia.
Unit review Pixel hanya dipinjamkan selama beberapa minggu sahaja, menyebabkan kami sukar melakukan ujian menyeluruh atau kandungan jangka panjang.
Situasi ini jauh berbeza dengan jenama lain, terutamanya yang baru masuk ke Malaysia, yang dengan mudah memberi akses produk lebih lama.
Bukan setakat akses lebih lama, malah akses lebih awal atau mudah kata, kami dapat mencubanya sebelum ia dilancarkan secara rasmi kepada pengguna.
Sama seperti yang anda lihat pada MKBHD, sudah menggunakan peranti Pixel lebih 2 minggu sebelum rasmi.
Ini penting kerana pengguna hari ini amat bergantung kepada ulasan mendalam sebelum membeli, dan Google nampaknya gagal memahami kepentingan ini di Malaysia.
Pihak Google di Malaysia perlu mengetahui, media serta barisan KOL teknologi mampu menaikkan sesebuah jenama dikenali.
Jujur saya katakan, Pixel hanyalah dikenali dalam kalangan peminat teknologi sahaja.
Sampai saya pernah dengar orang kata “Eh, Google ada telefon?”, sedangkan sudah 9 generasi peranti mereka dikeluarkan.
Strategi Pixel vs. Apple & Samsung – Jurang Masih Besar
Apple dan Samsung telah bertapak di pasaran Malaysia bertahun-tahun lamanya dengan ekosistem kukuh serta strategi pemasaran yang agresif.
Apple misalnya mempunyai rangkaian Apple Premium Resellers seperti Machines, Switch, yang bukan sahaja menjual produk, malah menyediakan pusat servis yang mudah diakses pengguna.
Ditambah lagi kehadiran Apple Store pertama di Malaysia, ia lagi membuatkan jenama itu cukup gah di pasaran tempatan.
Samsung pula mendominasi pasaran dengan siri Galaxy yang pelbagai—dari kelas bajet Galaxy A hinggalah ke kelas premium Galaxy S dan Fold. Mereka juga mempunyai Samsung Experience Store hampir di setiap pusat membeli-belah besar.
Pixel pula sebaliknya. Tiada pusat jualan rasmi Google, hanya bergantung kepada beberapa wakil jualan.
Tanpa kedai fizikal rasmi dan sokongan servis jelas, Pixel sukar menarik pengguna umum di Malaysia yang biasa dengan pengalaman lebih lancar daripada Apple atau Samsung.
Cadangan untuk Google Pixel – Kalau Serius Nak Bersaing di Malaysia
Jika Google benar-benar mahu Pixel berjaya di Malaysia, beberapa langkah drastik perlu diambil segera. Antaranya:
- Kembangkan rangkaian pengedaran – buka Google Experience Store atau kiosk kecil di lokasi popular seperti ioi Putrajaya, Mid Valley atau KLCC supaya pengguna biasa boleh cuba sendiri kelebihan Pixel. Namun, saya tahu perkara ini agak sukar dilakukan.
- Kurangkan harga jualan – masalah utama terletak pada harga yang sama dengan iPhone dan Samsung Galaxy S. Jika Google boleh ikut strategi jenama China di Malaysia, ia lebih baik. Malah, Google juga wajar pertimbang untuk berani menjual pada tanda harga bawah RM2000 kerana segmen ini cukup popular di Malaysia.
- Tingkatkan komitmen servis selepas jualan – segera umumkan pusat servis rasmi atau lantik pihak ketiga bertauliah untuk membina keyakinan pembeli.
- Lebih agresif dalam pemasaran – gunakan kuasa ekosistem Google (YouTube, Search) untuk buat kempen pemasaran besar-besaran dalam Bahasa Melayu agar produk Pixel lebih dekat dengan pengguna tempatan.
- Manfaatkan media & pengulas tempatan dengan lebih baik – beri unit review lebih awal dan lebih lama, supaya kandungan berkualiti boleh dihasilkan dan pengguna nampak nilai sebenar Pixel secara jangka panjang.
Kesimpulan – Pixel Berpotensi Tetapi Masih Jauh Ketinggalan
Hakikatnya, kemasukan rasmi Google Pixel ke Malaysia disambut baik tetapi masih belum cukup untuk menggugat jenama besar yang sudah lama bertapak.
Selagi isu seperti harga premium tanpa sokongan servis kukuh tidak diatasi, Pixel kekal sebagai produk niche yang hanya diminati peminat tegar sahaja.
Sebagai produk, Pixel tidak teruk. Cuma, dalam situasi pasaran Malaysia yang sangat kompetitif dengan pilihan pelbagai jenama lain khususnya jenama dari China, Google perlu lebih serius dalam pemasaran, pengedaran, dan servis jika benar-benar mahu bersaing secara efektif.
Jika tidak, Pixel akan kekal sendu di Malaysia, tidak kira sehebat mana pun pujian global terhadapnya.
{suggest}