Pertama Di Dunia, Monitor 4K Dengan Kadar Segar Semula 240Hz Akan Diumum Samsung Tidak Lama Lagi

Pada tarikh 5-7 Januari nanti, Samsung akan memperkenalkan secara rasmi barisan model monitor terbaharu mereka ketika acara CES 2022 yang berlangsung di Las Vegas.

Antara monitor yang akan diperkenalkan adalah Samsung Odyssey Neo G8. Monitor ini akan dihadirkan dengan skrin melengkung berukuran 32 inci dengan resolusi 4K dan kadar segar semula 240Hz. Ini membuatkan monitor ini adalah monitor pertama yang mempunyai spesifikasi tersebut di dunia.

Monitor ini mampu mencapai keterangan 2,000 nits pada kandungan HDR kerana menggunakan teknologi Quantum Matrix Samsung dan Quantum HDR 2000. LED yang digunakan juga adalah 1/40 daripada saiz LED yang biasa.



Dengan 2 lubang sokongan HDMI 2.1 dan satu DisplayPort 1.4, monitor ini mempunyai fungsi Auto Source Switch+ yang mana monitor ini berupaya untuk disambungkan kepada peranti yang disambungkan secara automatik. Fungsi CoreSync juga berupaya untuk melaraskan pencahayaan RGB pada bahagian monitor ini selaras dengan konten yang dipaparkan pada skrin.

Seterusnya ialah Smart Monitor M8. Monitor ini bersaiz 32 inci dengan resolusi UHD yang mempunyai fungsi seperti televisyen pintar kerana ia mempunyai aplikasi yang siap dipasang. Ini bermakna pengguna boleh menggunakan aplikasi penstriman tanpa menyambungkan monitor ini kepada peranti lain. Seperti televisyen, monitor ini juga mempunyai alat kawalan jauh. Namun, apa yang hendak ditekankan ialah monitor ini didatangkan dengan webcam yang beroperasi bersama aplikasi Google Duo.



Akhir sekali ialah monitor Samsung S8 yang direka untuk penciptaan kandungan. Monitor ini didatangkan dengan dua saiz iaitu 27 inci dan 32 inci bersama resolusi UHD. Menarik berkenaan tentang monitor ini adalah ia mempunyai 98% warna DCI-P3 dan VESA DisplayHDR 600 (model 32 inci). Disertakan fungsi sokongan USB-C dan wayar LAN, ia boleh disambungkan kepada komputer riba untuk menghantar video dengan lebih mudah.



Buat masa ini, masih tiada maklumat berkenaan dengan harga untuk barisan model monitor ini. Apa-apa pun, kita tunggu pelancarannya ketika acara CES 2022 nanti.

Sumber: GSMArena

Baca juga:

Berkaitan