Perkara-Perkara Yang Anda Perlu Tahu Tentang Wi-Fi 7

Bagi anda yang terlepas, Wi-Fi Alliance® secara rasminya telah pun memperkenalkan Wi-Fi CERTIFIED 7™ (Wi-Fi 7) pada 8 Januari 2024 lalu.

Wi-Fi 7 adalah jauh lebih berprestasi daripada versi Wi-Fi sebelum ini dan meningkatkan ketersambungan merentasi pelbagai persekitaran.

Wi-Fi CERTIFIED 7 membolehkan inovasi yang bergantung pada daya pemprosesan yang tinggi, kependaman yang rendah dan kebolehpercayaan yang lebih tinggi untuk trafik kritikal.


Wi-Fi 7


Antara ciri paling utama Wi-Fi 7 ini sudah tentulah prestasi kelajuannya.

Menggunakan saluran ultra lebar 320MHz (dua kali ganda saiz saluran 160MHz sebelum ini), ia memudahkan kelajuan peranti multigigabit dan daya pemprosesan yang tinggi.

Ia menyokong MLO (Multi-Link Operation) di mana ciri ini membenarkan peranti menghantar dan menerima data secara serentak melalui berbilang pautan (terutamanya melalui 2.4GHz, 5GHz dan 6GHz) untuk peningkatan daya pemprosesan, pengurangan kependaman dan kebolehpercayaan yang lebih baik.

Wi-Fi 7 juga memperkenalkan 4096 QAM, juga dikenali sebagai 4K QAM (Quadrature Amplitude Modulation). Teknologi baharu ini memberikan kelajuan, liputan dan kebolehpercayaan yang lebih baik.

Secara ringkas, 4K-QAM ialah teknik modulasi lanjutan yang digunakan untuk mengurangkan gangguan dan meningkatkan daya pemprosesan data dalam jalur frekuensi tertentu.

Teknik modulasi ini menyediakan penggunaan air-time yang lebih cekap, menjadikannya sesuai untuk aplikasi seperti penstriman video atau permainan dalam talian di mana sejumlah besar data perlu dihantar dengan cepat.

Isyarat yang disokong oleh 4K QAM boleh menghantar 20 peratus lebih data daripada standard 1024 QAM semasa.



Satu lagi faedah utama menggunakan 4K-QAM ialah ia membolehkan lebih banyak peranti mengakses satu rangkaian tanpa mengorbankan prestasi atau kebolehpercayaan.



Wi-Fi 7 juga turut memperkenalkan ciri yang dikenali sebagai "512 compressed block-ack." Ciri ini membolehkan pemancar untuk menyatukan sebanyak 512 MAC unit data protokol (MPDU) ke dalam satu bingkai.

Pengenalan 512 compressed block-ack ini dengan ketara mengurangkan protokol overhead (maklumat yang mesti dihantar dengan data dihalakan melalui rangkaian ke arah destinasi) dan meningkatkan prestasi pemancar,

Selain itu, Wi-Fi 7 juga serasi disambungkan dengan jenis Wi-Fi lain.

Jadi komputer riba yang lebih berusia akan dapat disambungkan kepada standard baharu walaupun peranti itu mungkin tidak dapat mengakses kelajuan pantas yang ditawarkan Wi-Fi 7.

Pentingnya Wi-Fi 7 kepada pengguna dan industri


Wi-Fi 7 ialah sambungan wayarles generasi terbaharu di mana ia adalah versi teknologi wayarles yang menggunakan spektrum 6GHz untuk meningkatkan kelajuan internet dengan lebih jauh lagi.



Ia dijangka akan mengupayakan kes penggunaan baharu – termasuk AR/VR/XR berbilang pengguna, latihan 3-D, permainan elektronik, kerja hibrid, IoT industri dan automotif – akan menjadi lebih maju hasil daripada penjanaan Wi-Fi terkini.

Ketersediaan


Walaupun jalur lebar yang lebih besar menghasilkan kelajuan yang sangat pantas, Wi-Fi 7 hanya boleh digunakan dalam negara yang membenarkan akses kepada jalur 6GHz.



Setakat ini sudah banyak negara-negara seperti AS, UK, Australia, Jepun, Mexico dan termasuklah Malaysia yang sudah mendayakan Wi-Fi 6.

Kapsyen: Negara-negara yang sudah mendayakan Wi-Fi 6 GHz (Wi-Fi 6E, Wi-Fi 7)

Router Wi-Fi 7


Untuk mendapatkan manfaat teknologi Wi-Fi 7 ini, pastinya anda memerlukan penghala (router) yang menyokongnya.

Router yang tersedia menyokong Wi-Fi 7 di awal kemunculannya, harganya pasti akan lebih mahal dari router sedia ada.

Bergantung pada jenama dan model yang dijual pada harga sekitar ratusan sehingga ribuan Ringgit.

Kapsyen: Penghala Mesh Predator Connect X7 5G CPE & T7, antara model router terkini diperkenalkan Acer di MWC 2024 yang menyokong Wi-Fi 7 dan rangkaian 5G.

Kesimpulan


Apa yang pastinya adalah, Wi-Fi 7 telah pun tiba yang menjanjikan membawa kependaman yang lebih rendah, kelajuan yang sangat pantas dan kapasiti tinggi ke rumah, perusahaan dan tempat awam dengan keupayaannya meliputi kawasan yang lebih luas.

Wi-Fi 7 akan membolehkan aplikasi dan ekosistem baharu serta meningkatkan pengalaman pengguna yang sedia ada secara dramatik.

Wi-Fi Alliance dalam kenyataannya menjangkakan, Wi-Fi 7 akan menyaksikan lebih 233 juta peranti memasuki pasaran pada 2024, berkembang kepada 2.1 bilion peranti menjelang 2028.

"Telefon pintar, PC, tablet dan titik akses (AP) akan menjadi yang terawal pengguna Wi-Fi 7, dan peralatan premis pelanggan (CPE) dan peralatan realiti maya dan tambahan (AR/VR) akan terus mendapat daya tarikan pasaran awal. Wi-Fi CERTIFIED 7 menolak sempadan sambungan wayarles hari ini, dan Wi-Fi CERTIFIED™ membantu memastikan ciri lanjutan digunakan dengan cara yang konsisten untuk menyampaikan pengalaman pengguna yang berkualiti tinggi." Wi-Fi Alliance.

https://youtu.be/_wtbW6Ps5oY?si=-AFYmBcirDv1J7bL

Beli pelbagai model router Wi-Fi terkini di:

Shopee: https://invl.io/clktmji

Lazada: https://invol.co/clktmjr

{suggest}

Sumber: Alta Labs, Wi-Fi Alliance, MWC GSMA, Wi-Fi 7 White Paper, Easy Tech Junkie