Perisian Hasad Terbaru Ini Sudah Menjangkiti Lebih Daripada 5 Ribu Komputer Di Seluruh Dunia

Penyelidik keselamatan dari Check Point Research (CPR) memaklumkan mereka telah mengesan satu perisian hasad baru yang disebarkan melalui stor rasmi Microsoft.

Menurut CPR, perisian hasad yang dinamakan sebagai Electron Bot itu dianggarkan telah berjaya menjangkiti lebih daripada 5,000 buah komputer di seluruh dunia.

Walaubagaimanapun, kebanyakkan mangsa perisian hasad ini adalah pengguna di negara Sweden, Bulgaria, Russia, Bermuda dan Sepanyol.

Electron Bot berjaya menyelinap masuk ke dalam stor rasmi Microsoft selepas ia berselindung disebalik aplikasi-aplikasi permainan seperti “Temple Run” atau “Subway Surfer” yang ditawarkan dalam stor tersebut.

Electron Bot berupaya mengambil alih akaun-akaun media sosial mangsanya seperti Facebook, Google dan Sound Cloud. Malah ia juga berupaya mendaftarkan akaun baru, log masuk akaun, memberi komen serta memberi tanda suka pada hantaran yang dibuat melalui platfom media sosial.

Ekoran penemuan itu, penyelidik CPR telah memaklumkan kepada Microsoft kesemua judul aplikasi permainan yang dikesan telah dijangkiti dengan perisian hasad tersebut.

Bagi mengelakkan pengguna daripada terkesan dengan perisian hasad ini, CPR menasihatkan pengguna supaya tidak memuat turun aplikasi dengan review yang rendah tetapi memberikan perhatian terhadap aplikasi yang menerima review yang baik, konsisten dan boleh dipercayai.

Pengguna juga diminta memberi perhatian terhadap judul-judul aplikasi yang ditawarkan yang cuba menyerupai dengan judul aplikasi sebenar bagi mengelirukan pengguna.

Sumber: Check Point Research

Baca juga: