Terdahulu, Tim Cook dalam satu temu bual telah menyatakan bahawa Android mempunyai lebih banyak perisian hasad berbanding iOS. Terbaru, bagi memberi maklum balas terhadap Suruhanjaya Eropah, Apple berkongsikan laporan untuk menjawab isu yang diusulkan.
Buat pengetahuan, Suruhanjaya Eropah membentangkan Akta Pasaran Digital yang mana secara tidak langsung memaksa Apple untuk membenarkan sideloading pada iOS. Maksudnya, memberikan pilihan kepada pengguna untuk memasang (install) aplikasi luar daripada App Store seperti gedung aplikasi pihak ketiga atau laman sesawang.
Namun, dalam dokumen yang dikongsikan Apple, mereka menyatakan bahawa “aktiviti” sideloading bahaya dan peranti pengguna akan lebih terdedah dengan perisian hasad.
Mereka turut memetik laporan 2019 dan 2020 daripada Nokia yang mendapati kira-kira 15 hingga 47 perisian hasad ditemui dalam telefon Android berbanding iPhone.
Selain itu, Apple juga mendakwa kes perisian hasad dalam iOS sangat terpencil dan jarang didengari. Disebabkan itu, mereka menegaskan bahawa iOS jauh lebih selamat kerana tiadanya sideload.
Tambah Apple, jika mereka membenarkan sideload, pengguna akan lebih terdedah dengan aplikasi berbahaya ketika memuat turunnya.
Walaupun terdapat cara untuk melakukan sideload untuk iOS, pengguna tidak digalakkan berbuat demikian.
Oleh itu, sekiranya anda berada dalam ekosistem Apple, anda perlu terima seadanya dengan apa yang telah ditawarkan.
Sumber: Apple
Baca juga: