Perbezaan Antara Zoom Optikal, Hibrid Dan Digital Serta Bagaimana Ia Berfungsi Pada Telefon Pintar

Kalau anda mengikuti perkembangan industri telefon pintar, mungkin anda sudah menyedari bahawa kamera zoom adalah satu ciri yang semakin popular dalam kalangan pengeluar ketika ini.

Terbaru, pengenalan Oppo Reno 10X Zoom turut sama mengetengahkan rekaan periskop untuk memberikan keupayaan zoom dimana setakat ini, ia memegang takhta kamera dengan ciri zoom paling jauh bagi telefon pintar.

Zoom Digital


Pada mulanya kamera telefon pintar hanya menggunakan kaedah zoom secara digital atau secara mudahnya ‘cropping’.



Cropping bermaksud gambar akan dipotong dibahagian yang dipilih kemudian dibesarkan tanpa tambahan piksel. Zoom secara digital akan menyebabkan penurunan kualiti pada imej yang dihasilkan.

Dari sini, sentuhan magis AI dan resepi kompleks digunakan oleh pengeluar telefon pintar dalam memperbaiki hasil imej terutamanya imej zoom digital.

Zoom Optikal




Sebelum itu anda perlu tahu tiada zoom optikal pada telefon pintar. Zoom optikal memerlukan lensa bergerak dari point A ke point B untuk menghasilkan sudut pandangan berbeza.

Setiap satu kamera di telefon kita sekarang ini memiliki jarak fokal yang tetap dan tidak boleh berubah.

Pengeluar menggunakan tambahan lensa ‘telefoto’ yang mempunyai jarak fokal yang berbeza. Ia bukanlah zoom optikal. Mereka hanya menggunakan terma optikal hanya untuk nilai komersial.



Tetapan tiga kamera (lensa sudut luas, lensa utama dan telefoto) paling popular ketika ini kerana ia memberikan penggunaan lebih fleksibel dan memberikan pilihan jarak fokal yang berbeza kepada pengguna.



Contohnya jika pengguna mahu zoom 5X, peranti akan menukar tugas dari satu kamera (12mm) ke kamera telefoto yang memiliki jarak fokal 130mm misalnya. Ia seakan zoom secara optikal tetapi sebenarnya pengeluar hanya menggunakan beberapa kamera yang berbeza jarak fokalnya.

Zoom Hibrid


Zoom Hibrid sering disalah anggap sebagai kombinasi zoom optikal dan zoom digital. Tiada istilah zoom hybrid dalam mekanisma zoom, zoom hybrid adalah zoom digital yang digunakan hanya untuk tujuan komersial, sama seperti zoom optikal.

Oleh kerana jarak fokal setiap lensa berbeza, maka pengeluar menggunakan interpolasi cantuman gambar dan bantuan perisian untuk mengekalkan imej digital yang dihasilkan. Zoom hybrid adalah lebih baik berbanding zoom digital.

Bagaimana Pula Dengan Rekaan Periskop?


Apabila telefon semakin nipis, dan kamera bump sudah terbenjol keluar, pengeluar menghadapi limitasi untuk menambah keupayaan zoom pada lensa telefoto. Secara teorinya, lagi jauh kedudukan lensa dengan sensor, lagi jauh jarak fokalnya.



Oleh kerana ruang dalam yang sempit, maka mereka terpaksa menggunakan kaedah rekaan periskop dimana ia lebih efisyen dan binaannya memakan ruang secara melintang bukan menegak.



Melihat dari rekaan periskop yang digunakan oleh Oppo Reno 10X Zoom, mereka meletakkan beberapa lapisan lensa dan cermin prisma untuk memantulkan cahaya ke sensor imej.

Disinilah sokongan penstabilan imej memainkan peranan penting untuk menstabilkan pengambilan cahaya dan menghasilkan imej zoom yang lebih kemas.



Setakat ini hanya ada dua peranti yang menggunakan rekaan periskop pada kamera telefoto mereka iaitu Oppo Reno 10X Zoom (60X Zoom) dan Huawei P30 Pro (50X Zoom).

Oppo Reno 10X Zoom mula mendapat perhatian ramai bukan sahaja kerana keupayaan zoomnya, tetapi kamera pop-up sirip jerungnya juga menjadi tarikan menarik. Ia memiliki paparan AMOLED 6.65 inci, Snapdragon 855 serta dijana melalui bateri 4065mAh dengan sokongan pengecasan pantas VOOC 3.0.

Dijual pada harga RM3,399 dengan RAM sebesar 6GB dan storan dalaman 256GB, ia adalah salah satu faktor  yang menjadikan peranti ini mampu bersaing sengit dengan nama-nama flagship yang lain.