Dah ada peranti dan monitor di rumah dengan skrin yang mahal dan berkualiti, tapi apa guna kalau tidak dijaga dengan betul? Teruskan membaca untuk mengetahui cara yang betul untuk menjaga skrin peranti anda di rumah.
Teknologi paparan telah berkembang pesat sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Dengan pelbagai jenis skrin seperti OLED dan LCD misalnya, semuanya tampil lebih berwarna dan responsif berbanding sebelum ini.
Namun, sampai satu masa, semua skrin pastinya akan terdedah kepada habuk, kotoran, terutamanya kesan cap jari.
Apa yang lebih teruk ialah terdapat produk pembersih di pasaran yang mendakwa boleh menjadikan skrin peranti anda kembali berkilat macam baru.
Untuk pengetahuan anda, bukan sahaja peranti dan perisian yang perlu kita jaga rapi tapi penjagaan skrin pun perlu dilakukan dengan teknik pembersihan yang betul dan berbeza untuk peranti seperti telefon pintar, tablet serta monitor.
Skrin Monitor
Skrin monitor pada komputer, komputer riba dan televisyen memerlukan penjagaan yang betul dan ada pantang-larangnya.
Yang pertama, dan yang paling penting, adalah sangat tidak digalakkan untuk membersihkan paparan skrin monitor menggunakan bahan seperti mana-mana agen pembersih yang mengandungi alkohol dan ammonia.
Bahan-bahan kimia ini sebenarnya boleh mengakibatkan kerosakan dan calar pada skrin.
Kedua, elak dari menggunakan produk seperti kertas tisu atau tisu tandas kerana fiber yang ada pada tisu juga boleh mencalarkan skrin monitor anda.
Untuk membersihkan skrin yang berhabuk, anda boleh menggunakan duster atau peniup habuk untuk menghilangkan segala debu pada skrin.
Untuk membersihkan skrin yang penuh dengan cap jari pula, anda digalakkan untuk menggunakan kain lap mikrofiber untuk mengelap skrin monitor.
Dengan hanya menggunakan air suling atau air paip yang diisi dalam botol penyembur kecil, sembur air pada skrin kemudian lap menggunakan kain mikrofiber tadi.
Pastikan anda lap dengan lembut dalam gerakan membulat (circular motion) dan tidak terlalu kasar.
Jika skrin anda mempunyai kotoran degil seperti minyak atau air manis yang terkena pada skrin, anda boleh lembabkan kain lap mikrofiber menggunakan air paip untuk membersihkan kotoran tersebut.
Kemudian gunakan bahagian kering kain mikrofiber tadi untuk lap lebihan air pada permukaan skrin.
Skrin Telefon Pintar dan Tablet
Berbeza dengan skrin monitor, setiap skrin pada peranti seperti telefon pintar dan tablet hadir dengan lapisan panel kaca untuk perlindungan skrin.
Oleh yang demikian, skrin telefon pintar dan tablet boleh dibersihkan menggunakan agen pembersih yang mengandungi alkohol.
Dengan menggunakan botol penyembur kecil yang diisi dengan larutan alkohol, sembur skrin peranti anda kemudian lap menggunakan kain mikrofiber sehingga bersih.
Langkah yang sama juga boleh dilakukan menggunakan air suling atau air paip untuk membersihkan skrin peranti anda.
Lebih mudah lagi, kain lap alkohol atau alcohol swab juga boleh digunakan untuk membersihkan skrin telefon pintar atau tablet kesayangan anda.
Itu sahaja. Mudah, bukan?
Tentunya akan mengambil masa yang lebih lama untuk membersihkan skrin yang lebih besar.
Namun, kalau dah melabur duit yang banyak semasa membeli, kenalah labur usaha dan cara yang betul untuk menjaga skrin demi penggunaan jangka masa panjang.
Sumber: HGTV, PC Gamer, Insider
Baca juga: