Penumpang MAS Kini Boleh Bawa Bekal Makanan Sendiri Ke Dalam Pesawat

Ekoran daripada isu penamatan kerjasama yang telah lama terjalin dengan katerer utamanya, Brahim's Food Services yang berpangkalan di Kuala Lumpur, Malaysia Airlines memaklumkan bahawa para penumpang mereka kini boleh membawa bekal makanan sendiri ke dalam pesawat.

Walau bagaimanapun ia tertakluk kepada keperluan cecair, aerosol dan gel (LAG).

LAG tidak boleh melebihi 100ml mengikut keperluan untuk penumpang antarabangsa yang berlepas dari atau transit di lapangan terbang antarabangsa di Malaysia.

MAS juga menggalakkan penumpang dengan keperluan diet atau perubatan khas untuk membawa makanan mereka sendiri ke dalam pesawat tertakluk kepada keperluan cecair, aerosol dan gel (LAGs) di lapangan terbang berlepas dalam penerbangan antarabangsa.

Ini tidak bermakna pelanggan MAS tidak menerima sebarang hidangan makanan. MAS berkata penumpang mereka masih akan diberikan makanan atau hidangan ringan dalam penerbangan.

Walau bagaimanapun, penumpang yang terjejas akan menerima tawaran hidangan yang disemak semula (untuk perjalanan jauh) dan makanan yang telah dibungkus semula seperti roti, gula-gula, biskut & minuman (untuk perjalanan dekat) - bergantung kepada kelas perjalanan dan tempoh penerbangan.

MAS tidak menyatakan sehingga bila penumpang mereka dibenarkan membawa bekal makanan ke dalam pesawat.

Tetapi Malaysia Airlines berkata mereka akan memperkenalkan hidangan baharu dalam penerbangan pada bulan-bulan akan datang apabila mereka memperkenalkan rakan kongsi tambahan untuk meningkatkan lagi penawaran dalam pesawat mereka.

{suggest}

Sumber: Malaysia Airlines

Berkaitan