Penghantaran Komputer Apple Di Seluruh Dunia Terus Menurun Bagi Suku Pertama Tahun 2019

Penghantaran komputer keluaran Lenovo, HP Inc. dan Dell pula terus meningkat.


Gartner hari ini telah mengeluarkan laporan terbaru berkaitan penghantaran komputer di seluruh dunia untuk suku pertama tahun 2019.

Menurut Gartner Inc, secara keseluruhan penghantaran komputer di seluruh dunia yang berjumlah 58.5 juta unit pada suku pertama tahun ini telah mengalami penurunan sebanyak 4.6 peratus berbanding dari suku pertama tahun 2018 yang lalu.

Penganalisis kanan utama Gartner, Mikako kitagawa berkata, Kekangan bekalan dari pembekal telah menjejaskan persaingan antara syarikat-syarikat pengeluar komputer.

Beliau menyatakan, syarikat pengeluar komputer terkemuka Lenovo, HP Inc. dan Dell mempunyai peruntukan yang lebih baik dari aspek pilihan cip pemprosesan dan mereka juga mula mencari pembekal kad grafik alternatif dari AMD.

Ini meletakkan 3 syarikat utama pengeluar komputer tersebut terus menguasai 61.5% penghantaran komputer di seluruh dunia bagi suku pertama tahun ini.

Selain itu, skala kilang pengeluaran komputer oleh 3 syarikat tersebut juga adalah lebih besar berbanding pesaingnya.

Manakala penghantaran komputer keluaran dari Apple pula telah menurun sebanyak 2.5%, Asus menurun sebanyak 7.3% dan Acer pula menurun sebanyak 13.2% berbanding suku pertama tahun 2018 dahulu.

Di bawah adalah jadual kedudukan syarikat terkemuka pengeluar komputer serta anggaran penghantaran bagi suku pertama tahun 2019.

Kapsyen: Kredit jadual: Gartner


Gartner juga melaporkan, daripada 58.5 juta unit penghantaran komputer di seluruh dunia, 20.1 juta unit daripadanya telah dihantar ke pasaran Asia Pasifik. Ia merupakan penurunan sebanyak 5.1% daripada suku pertama tahun lepas.

Menurut Gartner, keadaan ini terjadi kerana disebabkan oleh permintaan komputer yang lemah dari negara China.

Sebaliknya, pertumbuhan pasaran bagi peranti pintar terus meningkat yang didorong oleh permintaan tinggi pengguna yang lebih berminat terhadap produk peranti pintar premium yang nipis dan ringan yang dikuasi oleh syarikat terkemuka seperti Huawei dan Xiaomi dari China.