Baru-baru ini, Play For Dream Technology telah memperkenalkan komputer spatial mereka, iaitu Play For Dream MR. Ia sebuah peranti realiti campuran (mixed-reality) yang mana saya boleh katakan ibarat apa yang anda lihat pada Apple Vision Pro.
Namun, betul ke sama? Nasib menyebelahi, saya juga dijemput untuk mencuba dan menikmati peranti itu. Kalau anda mahu mengetahuinya, ini adalah pengalaman awal saya bersama Play For Dream MR.
Buat pengetahuan, walaupun syarikat ini masih lagi baharu dalam industri, peranti ini sebenarnya yang ketiga daripada mereka. Sebelum ini sudah ada set kepala YVR 1 dan juga YVR 2.
Rekaan
Sebelum saya mula, ini merupakan kali pertama saya menggunakan peranti realiti campuran. Jika set kepala VR, itu biasa. Namun, Apple Vision Pro saya tidak pernah mencubanya lagi. Jadi, sukar untuk saya membezakan kualiti binaannya dengan Play For Dream MR.
Apa pun, saya boleh puji juga dengan rekaannya. Ia tidaklah seperti set kepala VR yang biasa kita nampak. Ia mungkin nampak sama macam Meta Quest Pro. Namun, saya rasa ia jauh lebih kurang dengan Vision Pro.
Set kepala ini boleh dilaras dengan tombol di belakang. Apabila dipakai juga, masih lagi selesa dan tidaklah terlalu berat. Cuma, masih lagi terasa nisbah berat pada bahagian depannya.
Kusyen pada peranti ini juga jenis tekstur jaring (mesh) yang mana bagi saya selesa. Tak adalah rasa panas apabila pakai dalam tempoh lama. Malah, ia juga magnetik dan boleh dicabut.
Anda rabun seperti saya? Jangan risau kerana ada lensa yang boleh diletakkan pada skrinnya nanti di mana lensa ini adalah berdasarkan preskripsi mata anda. Perkara ini saya suka kerana kalau set kepala VR saya guna, saya perlu memakai cermin mata dan ia sangatlah menjengkelkan.
Play For Dream MR dibina hampir semua daripada bahan plastik. Jadi, ia ringan apabila diangkat tetapi saya rasa ia mungkin kurang premium sedikit. Tidak mengapa, ini ikut cita rasa masing-masing.
Bagi alat kawalannya, mirip sahaja dengan kebanyakan set kepala VR termasuklah Meta Quest Pro. Ada kayu analog, dua butang atas dan ada satu butang bahagian depan.
Mungkin anda rasa syarikat ini meniru Apple Vision Pro tetapi sebenarnya tidak. Ya, ketua pegawai eksekutif serta pengasas Play For Dream Technology memang mengidolakan Steve Jobs, akan tetapi tidaklah ia ditiru bulat-bulat.
Saya difahamkan yang mereka bangunkan Play For Dream MR dalam masa dua tahun. Maknanya, sebelum Apple umumkan Vision Pro. Kata CEO-nya lagi, perancangan dan strategi mereka mirip Apple dan kebetulan Vision Pro dilancarkan terlebih dahulu tahun lepas.
Prestasi
Peranti ini hadir dengan 11 kamera, 7 jenis sensor dan 22 LED inframerah. Pada saat pertama kali saya pakai dan apabila peranti dihidupkan, saya terus nampak apa objek berada di hadapan.
Umpama anda sedang melihat skrin kamera. Saya boleh katakan, skrin Mikro-OLED beresolusi 8K bagi kedua-duanya agak baik. Ia kelihatan jelas dan tidaklah kabur.
Kualiti visual yang dipaparkannya juga terasa hidup dan saya rasa subjek di hadapan saya (sebagai contoh manusia) memang berada betul-betul di hadapan saya walaupun sebenarnya ia hanyalah video dimainkan.
Situasi lain, apabila saya cuba dekat dengan skrin maya di dinding, saya boleh dengar bunyi audionya. Apabila saya ke belakang semula, bunyi audio itu hilang. Tiada lag yang saya rasa. Setiap transisinya lancar.
Sempat juga melihat beberapa sedutan filem dari Avatar, memang lagi menarik dan syok. Ikutkan, skrin maya ini boleh diperbesarkan sehingga 1000 inci. Ya, anda tak salah baca, 1000 inci. Malang sekali, semasa demo ini, fungsi tersebut tidak dapat saya cuba.
Walau bagaimanapun, saya jamin kepuasan menonton drama atau filem lebih best memandangkan peranti ini juga diiktiraf IMAX.
Selain IMAX, Play For Dream MR ini juga berkolaborasi dengan DTS untuk audio. Apa saya boleh katakan, kualiti audio yang dilontarkan memang baik. Bahkan, mereka juga mengatakan ia menyokong sistem pembesar suara saluran 7.1.
Untuk pengetahuan anda, kalau Apple ada visionOS untuk sistem operasi Vision Pro, peranti ini menjalankan DreamOS berasaskan Android pertama di dunia. Sewaktu saya guna, memang kelihatan seakan-akan visionOS. Ini termasuk ikon serta antara muka dalamannya.
Tambahan lagi, adakah anda ingat yang WWDC tempoh hari Apple ada memperlihat kemampuan untuk mencipta gambar spatial? Ya, Play For Dream MR pun ada.
Saya dah cuba dan memang boleh nampak kesan reruang (spatial) itu. Malah, saya juga boleh buat rakaman video atau ambil gambar secara terus dari peranti ini dan menjadikannya dalam bentuk spatial.
Beralih kepada pengalaman bermain permainan, bagi saya, ia mengambil sedikit masa untuk biasakan dengannya. Namun, ini mungkin tidak jadi masalah kepada anda yang mahir serta arif main VR.
Menarik lagi, peranti ini menyokong permainan Steam VR. Jadi, tidaklah terasa bazir untuk beli VR semata-mata main game sahaja kan?
Lagi tak bazir apabila Play For Dream MR ini boleh juga memaparkan skrin komputer Windows anda. Semasa pelancarannya, ia dilihat mampu untuk memaparkan macOS juga. Saya kurang pasti akan perkara ini kerana apabila saya tanya kepada mereka, tiada jawapan.
Pun begitu, guna pada sistem operasi Windows 11 masih lagi terasa lancar. Boleh taip, tonton YouTube dan lain-lain. Bagi saya fungsi sebegini, memang menarik. Seiring dengan apa yang Apple pasarkan. Lagi pun, peranti ini berkuasa di mana ia menggunakan cip Snapdragon XR2+ Gen 2. Peranti pertama di dunia yang menggunakannya.
Kesimpulan
Walau apa pun, sebenarnya saya agak kecewa kerana banyak fungsi yang masih lagi tidak dapat digunakan. Contohnya, perbesarkan skrin, tidak dapat mencuba permainan di Steam, mencuba kerja produktiviti di macOS (kalau boleh), cuba suntingan video dan lain-lain.
Selain itu, gestur tangan pun saya tidak dapat cuba. Mereka kata, buat masa sekarang prestasi gestur tangan atau berinteraksi pada Play For Dream MR dengan tangan masih lagi tidak memberangsangkan. Saya harap, apabila ia rasmi kelak, boleh saya cuba.
Tambahan lagi, DreamOS yang menjadi sistem operasi utamanya juga saya rasa masih belum cukup matang lagi. Saya berfikiran ini hanyalah disebabkan mereka masih mengujinya dan saya juga difahamkan bahawa set peranti tersebut masih lagi demo.
Bagaimanapun, apa saya boleh katakan untuk peranti ini, ia memang cukup menarik dan membuatkan saya teruja. Mungkin bagi anda, ia ibarat VR untuk bermain game semata-mata. Akan tetapi tidak sama sekali.
Bagi saya sendiri, saya suka. Mungkin saya dah bosan dengan telefon pintar sejak kebelakangan ini yang mana saya lihat lebih kurang sahaja. Tidak kira apa jenama sekali pun.
Secara keseluruhan, Play For Dream MR boleh saya katakan ada potensi besar. Adakah ia boleh bersaing dengan Apple Vision Pro? Ya, mungkin boleh bersaing. Namun, saya tidak pernah mencuba Vision Pro lagi memandangkan ia tidak tersedia secara rasmi di Malaysia. Tambahan lagi, ada banyak perkara yang perlu ditambah baik pada peranti ini, khususnya sistem operasi.
Berita baik, sekiranya anda berminat dengan set kepala realiti campuran ini, ia bakal masuk secara rasmi pada bulan Oktober 2024 nanti. Harganya USD1X99 dan setelah saya buat kira-kira, sekitar bawah RM10,000 sahaja.
{suggest}