OnePlus 7T Pro Mula Dijual Di Malaysia Dengan Harga RM3,399

Awal Oktober ini, OnePlus 7T Pro telah dilancarkan sebagai model kemaskini separuh tahunan kedua jenama OnePlus. Peminat OnePlus di Malaysia akhirnya boleh mula mengira wang tabungan kerana peranti tersebut telah mula dijual secara rasmi.

Melalui penjual sah DirectD dan Mobile2Go, harga peranti itu dijual pada harga RM3,399 dan boleh dibeli bermula hari ini, 25 Oktober 2019. Model yang dijual adalah variasi 8GB RAM dan 256GB storan dalam pilihan warna Haze Blue. Anda juga memperoleh waranti 2 tahun yang disertakan bersama pembelian tersebut.

Menurut sumber, pengedar sah OnePlus, XianFeng Technologies juga akan turut membawa masuk model OnePlus 7T dan juga edisi McLaren November ini.



OnePlus 7T Pro merupakan kemaskini kepada OnePlus 7 Pro yang dilancarkan beberapa bulan lalu. Hanya mempunyai sedikit sahaja perubahan berbanding model sebelumnya seperti cip pemprosesan Snapdragon 855+, peningkatan kecil bateri kapasiti kepada 4,085mAh, sokongan pengecasan yang lebih pantas Warp Charge 30T dan pilihan warna biru yang lebih lembut.