OnePlus Melancarkan Model Terbaru OnePlus 7T Yang Dikuasakan Snapdragon 855+

Skrin telefon pintar bersaiz 6.55 inci dengan kadar segar 90Hz.


Seperti yang dijanjikan, OnePlus telah pun mengumumkan model terbaru telefon pintar premium mereka hari ini kepada umum iaitu OnePlus 7T.

Ia merupakan model keempat telefon pintar dari OnePlus selepas model OnePlus 7, OnePlus 7 Pro dan OnePlus 7 Pro 5G yang telah pun diperkenalkan lebih awal tahun ini.

OnePlus 7T dikuasakan oleh cip pemprosesan Snapdragon 855+ dan skrin Fluid AMOLED (FHD+) bersaiz 6.55-inci dengan kadar segar 90HZ, memori 8GB RAM dan pilihan storan terbina dalam bersaiz 128GB atau 256GB.

Cuma ia masih mengekalkan rekaan skrin bertakuk kecil yang mirip rekaanmodel sebelumnya, OnePlus 6T dan OnePlus7.

Kapsyen: skrin Fluid AMOLED OnePlus 7T turut menyokong format HDR10+.


Bagi rekaan kamera belakangnya pula, buat pertama kalinya OnePlus menggunakan rekaan bulat yang boleh dikatakan sebagai trend terbaru dikalangan pengeluar telefon pintar dari China.

Kamera utamanya itu dilengkapi dengan lensa biasa 48MP + telefoto 12MP + ultra sudut lebar 16MP .

Kapsyen: Kamera hadapan OnePlus 7T masih mengekalkan lensa 16MP.


Sementara bateri OnePlus 7T adalah berkapasiti 3800mAh yang menyokong pengecasan pantas yang dikenali sebagai Warp Charge 30T. Menurut OnePlus, pengecas tersebut mampu menambah semula kapasiti bateri OnePlus 7T sehingga 70% hanya dalam masa 30 minit sahaja.

Selain itu, apa yang memberikan kelebihan lain kepada OnePlus 7T adalah ia merupakan telefon pintar pertama yang sedia dipasang dengan sistem operasi terbaru,  Android 10.

OnePlus 7T hadir dalam 2 warna pilihan terbaru iaitu Glacier Blue dan Frosted Silver. Harga jualannya pula adalah  berharga dari USD599 (sekitar RM2508).

untuk info lanjut, sila layari laman muka rasmi OnePlus 7T.

https://www.youtube.com/watch?v=NqMk7eJlnxE