Nvidia dan AMD bersetuju untuk menyerahkan 15% daripada hasil jualan cip seperti H20 yang digunakan dalam teknologi kecerdasan buatan (AI) kepada Amerika Syarikat bagi setiap jualan di China, lapor Reuters.
Pentadbiran Presiden AS, Donald Trump,menghentikan jualan cip H20 ke China pada April. Namun, Nvidia bulan lalu mengumumkan bahawa pihak AS membenarkan syarikat itu meneruskan jualan dan berharap dapat memulakan penghantaran dalam masa terdekat.
Memetik laporan Reuters, jurucakap Nvidia berkata syarikat itu mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan AS bagi penglibatan dalam pasaran global.
“Walaupun kami sudah beberapa bulan tidak menghantar cip H20 ke China, kami berharap peraturan kawalan eksport akan membolehkan Amerika terus bersaing di China dan di seluruh dunia,” kata jurucakap Nvidia.
Buat pengetahuan, China merupakan pasaran penting bagi Nvidia dan AMD. Nvidia mencatatkan hasil sebanyak AS$17 bilion daripada jualan di China untuk tahun kewangan yang berakhir pada 26 Januari, iaitu kira-kira 13% daripada jumlah keseluruhan jualan.
Sementara itu, AMD melaporkan hasil sebanyak AS$6.2 bilion di China bagi tahun 2024, yang merangkumi 24% daripada jumlah pendapatan syarikat.
Financial Times melaporkan bahawa pengeluar cip bersetuju dengan perjanjian itu sebagai syarat untuk mendapatkan lesen eksport bagi semikonduktor mereka, termasuk cip MI308 daripada AMD.
Bagaimanapun, laporan itu menyebut pentadbiran Trump masih belum membuat keputusan tentang penggunaan wang tersebut.
{suggest}
Sumber: Reuters
