Model OnePlus Seterusnya Didakwa Bakal Hadir Dengan Simpanan Dalaman Berkelajuan Tinggi UFS 3.0

Simpanan dalaman atau storan merupakan salah satu dari elemen penting dalam sebuah telefon pintar. Storan yang baik bukan sahaja bergantung kepada kapasitinya, malah ia turut dipengaruhi oleh kepantasannya.

Kepantasan sesebuah storan diukur melalui versinya iaitu Universal Flash Storage(UFS). UFS yang terkini ialah UFS 2.1 namun UFS 3.0 dijangka akan mula menyokong telefon pintar dalam masa terdekat.

Antara peranti yang digembar-gemburkan akan hadir dengan storan tersebut ialah model OnePlus yang berikutnya. Ia berdasarkan satu pendedahan yang dibuat oleh pentiris terkenal, @UniverseIce baru-baru ini.



UFS 3.0 ini dikatakan mampu memindahkan data pada kelajuan sehingga 2,000Mbps, berbanding versi terbaik yang ada hari ini, UFS 2.1 yang hanya mampu membuat perpindahan pada kadar 800Mbps.

Versi terkini UFS ini telah dibangunkan oleh Samsung dan model premium mereka, Samsung Galaxy S10 dijangka akan menjadi peranti terawal hadir dengan teknologi ini.

Kepantasan yang ada pada UFS 3.0 ini dilihat relevan memandangkan saiz fail dan kapasiti simpanan dalaman yang ada pada peranti pintar ketika ini semakin besar.

Walaupun ia masih diperingkat ura-ura, Ice Universe mempunyai reputasi yang baik dalam tirisan-tirisan beliau sebelum ini. Maka, kita boleh mengharapkan bahawa perkara ini benar-benar akan dibawa ke OnePlus baharu nanti.

 

Sumber: Phone Arena   @IceUniverse