Setelah menggunakan Microsoft Surface Go 3 ini, saya dapati terdapat beberapa kelebihan dan kekurangan yang saya rasa perlu saya kongsikan dengan anda semua.
Kalau anda nak tahu apa kelebihan dan kekurangan ini, dan adakah ia akan menjadi sesuatu yang anda suka atau masalah kepada anda, tanpa melengahkan masa lagi mari kita terus kepada topik ini.
Apa yang kurang?
Sebelum saya cerita kelebihan Microsoft Surface Go 3 ini, saya akan ceritakan kelemahan dan kekurangan yang bagi saya agak mengganggu jika menggunakan tablet ini.
Okey, yang pertama sekali adalah ketiadaan USB-A, jika sangat bergantung kepada jenis sambungan ini, ia bukanlah peranti yang patut anda beli. Lubang sambungan yang diberikan hanya ada dua sahaja iaitu USB-C dan Surface Connect.
Anda perlu tahu bahawa Surface Go 3 adalah model kompak, sememangnya sukar untuk meletakkan port USB-A. Apa yang perlu anda lakukan adalah buat sambungan tambahan melalui penyesuai (adapter) bagi kerja-kerja pemindahan data dan sebagainya. Tak semua orang sanggup ada aksesori tambahan untuk dibawa ke hulu ke hilir.
Seterusnya, saya ingin sentuh berkenaan dengan spesifikasi yang ditawarkan pada Microsoft Surface Go 3 ini. Tablet yang saya gunakan ini dijana dengan cip pemprosesan Intel Core i3-10100Y.
Untuk pengetahuan anda, Intel Core i3-10100Y ini mempunyai tahap prestasi yang paling rendah jika dibandingkan dengan cip Intel Core i3 generasi ke-10 yang lain.
Disebabkan tablet ini dijanakan dengan cip pemprosesan ini, kadang-kadang saya akan perasan yang tablet ini akan sedikit sangkut jika saya membuka banyak aplikasi dalam satu masa.
Selain itu, seperti yang mungkin anda jangkakan, Surface Go 3 ini tidak sesuai digunakan untuk menjalankan aplikasi atau permainan video besar seperti Genshin Impact atau Adobe Premiere Pro.
Bercakap tentang Adobe Premiere Pro, saya ada cuba untuk menyunting video menggunakan aplikasi ini. Walaupun saya hanya menyunting secara ringkas, untuk video berdurasi 5 minit, Surface Go 3 ini akan mengambil masa lebih kurang 30 minit untuk dirender.
Bukan itu sahaja, tablet ini juga tidak mampu untuk sesetengah format video seperti H.264. Disebabkan itu, saya hanya render guna format AVI.
Jika gunakan aplikasi-aplikasi berat ni bateri macam mana? Tahan ke? Untuk menjawab persoalan ini, berdasarkan pengalaman saya menggunakan Surface Go 3 ini untuk cuba main Genshin Impact dan menggunakan Adobe Photoshop selama lebih kurang 1-2 jam, saya dapati bateri tablet ini menurun daripada 100% kepada 45%.
Untuk masa pengecasan tablet ini dari 0% kepada 100% ia akan mengambil masa lebih kurang 4 jam. Ia adalah satu jangka masa yang lama walaupun anda telah dibekalkan dengan pengecasan Surface Connect 24W. Cuma apa yang menariknya ialah tablet ini juga menyokong pengecasan jenis USB-C.
Bagi saya, hayat bateri tablet ini sangat sekejap untuk menggunakan aplikasi-aplikasi berat kerana konsep utama tablet ini hanya untuk penggunaan biasa seperti menaip atau kerja-kerja pejabat sahaja.
Bila tengok balik macam menarik juga
Setelah bercerita tentang kelemahan, mari kita beralih pula kepada kelebihan yang ada pada Microsoft Surface Go 3 ini. Tapi banyak ke kelebihan tablet ini? Ha ni yang nak cerita ni.
Kelebihan yang paling ketara sekali mestilah saiz yang kecil. Disebabkan Microsoft Surface Go 3 ini merupakan sebuah tablet dengan sistem operasi Windows, jadi ia boleh dikatakan sebagai komputer yang lebih kompak dan lebih mudah untuk dibawa ke mana-mana.
Oleh kerana ia menggunakan Windows, Surface Go 3 ini memang sesuai sebagai sebuah peranti untuk melakukan kerja-kerja yang menggunakan komputer atau komputer riba. Jadi kepada anda yang perlukan sebuah komputer yang ringan dan kecil untuk melakukan kerja-kerja ringan seperti menaip, tablet amat sesuai untuk anda.
Jika bercakap tentang tablet, sudah pasti ia mempunyai fungsi skrin sentuh. Untuk skrin sentuh ini, bagi saya ia memang responsif. Dengan saiz skrin 10.5 inci paparan PixelSense, saya benar-benar tertarik dengan paparan tablet ini kerana warna yang dipaparkan sangat jelas dan cantik.
Bila dah cakap yang tablet ini dah macam komputer riba, mestilah tablet ini sesuai untuk kerja-kerja menaip. Haa di sini la saya nak ceritakan pula berkenaan dengan Type Cover untuk Surface Go 3 ini.
Type cover yang saya guna adalah Microsoft Surface Go Signature Type Cover. Saya sangat suka dengan pengalaman menaip menggunakan type cover ini kerana saya akan rasa setiap butang huruf yang saya tekan.
Selain itu, type cover ini juga mempunyai pencahayaan yang mana ia sangat berguna kepada saya apabila saya menaip dalam keadaan gelap. Pad sesentuh ia juga sangat lancar dan selesa walaupun digunakan dalam jangka masa yang lama.
Disebabkan saya juga menggunakan tablet ini untuk panggilan video, saya sangat berpuas hati dengan kamera tablet ini. Walaupun dengan menggunakan sensor kamera 5MP, imej yang dipaparkan sangat jelas dan cantik. Cuma dalam keadaan cahaya rendah, imej yang dipaparkan akan jadi gelap.
Bukan itu sahaja, mikrofon tablet ini juga sangat jelas menangkap bunyi suara saya ketika membuat panggilan video. Ini kerana tablet ini menggunakan 2 Studio Mic yang terdapat pada kiri dan kanan kamera hadapan.
Tidak lupa juga pembesar suara pada Surface Go 3 ini. Disebabkan pembesar suara stereo ini menghadap kepada pengguna, bunyi yang dihasilkan sangat jelas dan sedap didengar. Untuk tonton video dan filem memang sesuai menggunakan tablet ini.
Surface Go 3 ini sesuai untuk siapa?
Setelah menggunakan Microsoft Surface Go 3 ini, saya boleh simpulkan bahawa tablet ini sangat sesuai untuk pelajar yang memerlukan sebuah peranti yang kecil, ringan dan mudah dibawa ke mana-mana untuk tugas-tugas menaip dan mengambil nota. Atau pekerja yang banyak menaip dan mahukan sebuah peranti ringan, mudah alih. Namun begitu, ia tidak boleh menggantikan laptop sepenuhnya dengan beberapa fungsi yang terbatas.
Untuk harga, anda boleh dapatkan Microsoft Surface Go 3 ini dengan harga bermula daripada RM1,888 untuk varian yang paling rendah dan RM2,988 untuk varian yang paling tinggi. Type cover perlu dibeli berasingan dengan harga RM578.