Sebagai salah satu medium komunikasi popular, WhatsApp banyak digunakan untuk penghantaran teks dan dokumen, perbualan suara mahupun panggilan video.
Perkembangan terbaru mengenai platform pemesejan ini, dilaporkan sebuah syarikat sekuriti siber berpengkalan di Israel, NSO Group, telah memasang perisian pengintip ‘Pegasus’ pada WhatsApp.
Difahamkan, Pegasus dipasang dengan cara mengeksploitasi kelemahan pada WhatsApp iaitu membuat panggilan kepada mangsa yang disasarkan. Lebih mengejutkan, ia berupaya dipasang walaupun pengguna tidak menjawab langsung panggilan tersebut.
Setelah siap dipasang, Pegasus dikatakan mampu mengaktifkan kamera telefon pintar, mikrofon, mengimbas e-mel dan mesej serta mengutip data lokasi pengguna.
Ekoran dari penemuan ini, WhatsApp telah menggesa 1.5 bilion pengguna aktif aplikasi pemesejan ini supaya mengemaskini aplikasi mereka kepada versi yang terkini.
Kerentanan ini telah dikesan sejak awal Mei dan mangsa terbaru, seorang peguam hak asasi manusia di UK dikesan menghadapi serangan Pegasus. Serangan itu bagaimanapun telah berjaya dihentikan oleh WhatsApp, namun mereka masih belum dapat memastikan lagi jumlah telefon yang berjaya dieksploitasi Pegasus.
Sumber: Financial Times